AM

54 BAZAR RAMADAN DI SEBERANG PERAI PERHEBAT PENGASINGAN SISA, KURANG PEMBAZIRAN

28/02/2026 03:41 PM

Oleh Siti Azila Alias

BUKIT MERTAJAM, 28 Feb (Bernama) -- Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memperhebat langkah 'membanteras' pembaziran makanan sepanjang Ramadan tahun ini dengan pendekatan lebih sistematik di kesemua 54 bazar Ramadan dalam kawasan pentadbirannya.

Datuk Bandar MBSP Datuk Baderul Amin Abdul Hamid berkata tumpuan utama diberikan kepada pengurusan sisa dengan menggalakkan pengasingan sisa di peringkat punca oleh penganjur dan peniaga bagi memudahkan pengendalian sisa pepejal, sekali gus mengurangkan jumlah makanan yang dibuang setiap hari.

Beliau berkata lebihan makanan yang masih selamat turut digalakkan untuk dimanfaatkan semula, termasuk dijadikan baja kompos sebagai sebahagian daripada usaha menyokong kelestarian alam sekitar.

“Berdasarkan rekod MBSP, jumlah sisa domestik yang dikutip di Seberang Perai pada Mac tahun lepas, iaitu sepanjang Ramadan adalah 24,667.61 tan, hampir sama dengan April iaitu 24,515.87 tan, Mei (23,904.79 tan) dan Jun (23,267.34 tan).

“Ini menunjukkan kadar sampah dijana sepanjang Ramadan tidak jauh beza dengan bulan lain, namun pembaziran makanan masih berlaku sepanjang tempoh tersebut dan kita berharap ia tidak terjadi pada tahun ini,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di pejabatnya di Menara MBSP di sini, baru-baru ini.

Baderul Amin mejelaskan jumlah sisa yang tinggi memberi kesan langsung kepada kos dan keperluan pengurusan sampah oleh pihak berkuasa tempatan, justeru kesedaran dalam kalangan peniaga dan masyarakat amat penting bagi mengelakkan pembaziran.

Beliau berkata perkara tersebut turut ditekankan dalam Taklimat Kepada Pengurus dan Peniaga Bazar Ramadan Seluruh Seberang Perai yang diadakan pada 10 Feb lepas bagi memastikan semua pihak memahami serta mengamalkan langkah berkenaan sepanjang tempoh operasi bazar.

Dalam pada itu, beliau berkata MBSP turut mengalukan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bank makanan dan pihak ketiga bagi membantu mengagihkan lebihan makanan yang masih selamat dimakan kepada golongan memerlukan.

"Usaha ini bukan sahaja dapat mengurangkan pembaziran makanan, malah turut membantu meringankan beban pengurusan sisa pepejal serta memperkukuh aspek kebajikan sosial dan imej bazar Ramadan yang lebih bertanggungjawab serta mesra alam," katanya.

Mengulas lanjut, Baderul Amin memaklumkan bagi tahun ini MBSP meluluskan permit kepada 54 penganjur bazar Ramadan melibatkan 4,003 peniaga di tiga daerah Seberang Perai, dengan Seberang Perai Tengah (SPT) mendapat kelulusan tertinggi iaitu 25, diikuti Seberang Perai Utara (SPU) 19 manakala 10 di Seberang Perai Selatan (SPS).

Beliau menjelaskan jumlah tersebut menunjukkan penurunan berbanding 61 bazar tahun lepas, antaranya disebabkan faktor lokasi kurang strategik dan sambutan yang tidak menggalakkan, sekali gus mendorong penganjur menumpukan operasi di kawasan berpotensi tinggi.

Beliau berkata MBSP juga menetapkan prosedur operasi standard (SOP) kepada semua penganjur bazar Ramadan termasuk penekanan terhadap aspek kebersihan tapak jualan dan pengurusan sisa pepejal, susun atur gerai yang teratur serta keselamatan pengunjung.

“Sehubungan itu, 35 petugas Jabatan Pelesenan ditugaskan membuat rondaan secara berkumpulan setiap hari di kesemua 54 bazar bagi memastikan pematuhan terhadap SOP serta kerjasama peniaga dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) sepanjang tempoh operasi bazar,” katanya.

Baderul Amin juga menasihatkan penganjur dan peniaga agar menetapkan harga yang berpatutan serta mengamalkan etika perniagaan yang baik manakala kualiti, kebersihan dan keselamatan makanan dipantau melalui pemeriksaan berkala Jabatan Kesihatan MBSP dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan