SINGAPURA, 28 Feb (Bernama) -- Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung dijadualkan melakukan lawatan negara selama tiga hari ke Singapura atas jemputan Presiden Tharman Shanmugaratnam, menurut Kementerian Luar (MFA).
Lee akan diiringi Wanita Pertama Kim Hea Kyung, serta menteri Kabinet dan pegawai kanan, semasa lawatan dari Ahad hingga Selasa (1-3 Mac) itu.
"Lawatan Presiden Lee mengesahkan hubungan teguh antara Singapura dan Republik Korea (ROK) serta memberi peluang tepat pada masanya bagi kedua-dua pihak untuk menyemak kemajuan yang dicapai dalam Perkongsian Strategik Singapura-ROK sejak penubuhannya pada November 2025," menurut MFA dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut MFA, Lee akan menerima sambutan rasmi dan mengadakan kunjungan hormat ke atas Tharman pada Isnin, sebelum menghadiri majlis makan tengah hari yang dihoskan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Lawrence Wong.
Pada sebelah malamnya, Tharman akan menghoskan majlis jamuan negara bagi meraikan Lee.
"Semasa lawatan itu, Wong dan Lee akan menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan, keselamatan tenaga, sains dan teknologi, harta intelek, alam sekitar, serta keselamatan dan ketenteraman awam.
"Satu spesies orkid, Vanda Lee Jae Myung Kim Hea Kyung, akan dinamakan sempena nama Lee dan Kim sebagai penghormatan kepada pasangan itu," tambah MFA.
-- BERNAMA
