EKONOMI

JS-SEZ PEMANGKIN JOHOR CAPAI KDNK RM260 BILION MENJELANG 2030

28/02/2026 04:01 PM

Oleh Hasnah Jusid

JOHOR BAHRU, 28 Feb (Bernama) -- Sasaran Johor untuk mencapai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM260 bilion menjelang 2030 sebagai realistik, dengan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dijangka menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Mohd Effandi Yusoff berkata sasaran itu dapat dicapai sekiranya beberapa faktor ekonomi kritikal dilaksanakan dan diurus secara berkesan dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Johor berada pada kedudukan yang kukuh untuk menarik pelaburan domestik dan asing.

“Persekitaran yang aman dan stabil turut menjadi faktor penting dalam mewujudkan keyakinan pelabur serta memastikan pembangunan dapat dilaksanakan secara mampan dan berterusan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sehingga suku ketiga 2025, Johor mencatatkan jumlah pelaburan komited sebanyak RM91.1 bilion, diikuti Selangor (RM51.9 bilion), Wilayah Persekutuan (RM45.9 bilion) dan Pulau Pinang (RM23.7 bilion).

Beliau berkata antara faktor paling penting yang perlu diberi perhatian ialah keupayaan menyepadukan operasi ekonomi antara Johor dan Singapura, mengambil contoh model pembangunan Shenzhen dan Hong Kong.

Menurutnya, dalam konteks JS-SEZ, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), kewangan serta pembiayaan boleh ditumpukan di Singapura manakala Johor memberi tumpuan pada pembuatan bernilai tinggi, logistik dan rantaian bekalan.

“Model ini membolehkan kedua-dua wilayah memanfaatkan kelebihan kompetitif masing-masing. Jika integrasi ini dilaksanakan secara strategik, limpahan ekonomi akan berlaku secara langsung kepada Johor,” katanya.

Beliau berkata ketersediaan bakat menjadi pemangkin utama bagi menyokong peralihan kepada ekonomi berasaskan inovasi dan berteknologi tinggi.

“Johor mempunyai beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang mampu menyediakan tenaga kerja mahir. Malah, universiti di luar Johor juga berupaya membekalkan tenaga mahir dan separa mahir selaras dengan peningkatan permintaan industri,” katanya.

Dalam aspek infrastruktur, beliau berkata projek pengangkutan dan kemudahan rentas sempadan yang cekap akan mempercepat aliran modal, barangan dan tenaga kerja.

Beliau berkata projek Rapid Transit System Link (RTS Link), pelepasan kastam digital serta pembangunan infrastruktur sokongan lain akan menjadi pemangkin utama kepada kemasukan pelaburan berkualiti tinggi ke negeri ini.

Pelan induk dan pelan tindakan pelaburan JS-SEZ akan dilancarkan pada 30 Mac ini di sini.

Perjanjian JS-SEZ yang dimeterai pada 7 Januari tahun lepas dijangka mewujudkan lebih 20,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan