KUANTAN, 28 Feb (Bernama) -- Suasana sebuah pusat beli-belah di sini bertukar meriah apabila Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan meluangkan masa bersama anak-anak yatim bagi membeli persiapan sempena Aidilfitri.
Keberangkatan baginda diiringi anakanda Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Al-Sultan Abdullah turut berkenan menyantuni anak-anak di bawah naungan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) itu ketika memilih busana hari raya kesukaan mereka.
Pada majlis itu, Sultan Pahang dan Tengku Hassanal juga meluangkan masa beramah mesra dengan anak-anak yatim berkenaan dan merakam gambar kenangan.
Sementara itu, Pengerusi YKM Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata program tahunan yayasan itu kali ini lebih istimewa apabila 57 anak yatim bersama penjaga mereka dapat bertemu Sultan Pahang ketika memilih sendiri persiapan sempena Aidilfitri.
Beliau berkata bagi program itu setiap anak yatim yang berada di bawah jagaan YKM selepas kehilangan ibu atau bapa mereka akibat COVID-19 menerima RM300 bagi membeli pelbagai barangan keperluan hari raya.
“Setiap perayaan kami akan berbelanja untuk anak-anak yatim, tidak tertumpu hanya kepada Aidilfitri, bagi yang menyambut Tahun Baharu Cina baru-baru ini juga kami hulurkan bantuan,” kata mantan Perdana Menteri itu.
Ismail Sabri berkata kesemua penerima hari ini turut diraikan dalam majlis berbuka puasa yang diadakan di sebuah hotel di sini.
Bagi Junaidah Omar, 49, beliau amat terharu dan bersyukur apabila empat daripada lima anaknya yang masih bersekolah menerima bantuan YKM selama tiga tahun berturut-turut.
Bantuan itu meringankan beban yang ditanggung selepas beliau kehilangan suami akibat COVID-19 pada 2022 dan hanya menyara keluarga dengan menjual nasi lemak.
“Bantuan ini melengkapkan persiapan raya anak-anak saya. Jika mengikut kemampuan kami, memang tidak mampu beli banyak barang, malah hari ini juga lebih istimewa kerana kami sekeluarga dapat tengok tuanku (Sultan Pahang),” katanya.
-- BERNAMA
