KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melantik Kamal Azira Hassan dan Adnan Zaylani Mohamad Zahid sebagai Ahli Lembaga Pengarah untuk tempoh dua tahun, berkuat kuasa 15 Feb, 2026.
Dalam satu kenyataan hari ini, suruhanjaya itu berkata Kamal Azira dan Adnan Zaylani akan berkhidmat dalam Lembaga Pengarah SC sehingga 14 Feb, 2028.
"Kamal Azira mempunyai lebih 25 tahun pengalaman dalam undang-undang awam, perlembagaan dan pentadbiran, serta litigasi kerajaan, hal ehwal undang-undang antarabangsa, tadbir urus kewangan dan nasihat kawal selia.
"Beliau telah berkhidmat dalam peranan penting di Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perdana Menteri, Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri, badan berkanun dan kementerian persekutuan, menerajui litigasi dan unit undang-undang khusus," katanya.
Menurut SC, Kamal Azira merupakan pemegang Ijazah Sarjana Undang-undang dalam Pentadbiran Undang-undang Islam dan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Sementara itu, Adnan Zaylani, yang merupakan Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyelia Pasaran dan Pembangunan Kewangan, mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam mengurus rizab antarabangsa, dana sektor awam lain serta merangka dasar dan strategi pembangunan sektor kewangan.
Beliau merupakan ahli Jawatankuasa Dasar Monetari dan Kestabilan Kewangan BNM.
Selain itu, beliau turut menyumbang kepada inisiatif pembangunan kewangan Islam dan Pelan Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026 serta terlibat dalam program yang menyokong pembiayaan perusahaan kecik dan sederhana (PKS), rangkuman kewangan dan literasi kewangan.
Adnan Zaylani merupakan pemegang Ijazah Sarjana Dasar Awam dari Sekolah Kerajaan Blavatnik, Universiti Oxford, Ijazah Sarjana Sains dalam Ekonomi Pasaran Global dan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Ekonomi dari Sekolah Ekonomi dan Sains Politik London, katanya.
-- BERNAMA
