SUKAN

TIGA PEMAIN NATURALISASI MABA BELUM DAPAT LAMPU HIJAU FIBA, TERLEPAS SUKAN ASIA DAN KOMANWEL

02/03/2026 01:59 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Tiga pemain naturalisasi bola keranjang dijangka mengambil masa lebih lama untuk boleh mewakili pasukan Malaysia di kejohanan antarabangsa.

Ketua Komunikasi Korporat Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) Sim Leong Kun berkata ia susulan permohonan yang dibuat pada bulan lepas masih belum mendapat lampu hijau Persekutuan Bola Keranjang Antarabangsa (FIBA).

“Mereka mungkin tidak dapat bermain untuk Sukan Komanwel dan Sukan Asia sebab proses (permohonan) ini ambil masa dua bulan. 

“Jadi tidak sempat untuk menyenaraikan mereka dalam senarai panjang, mungkin mereka ini akan memperkuatkan skuad Sukan SEA,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat jawatankuasa kerja di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini.

Sebelum ini MABA mengumumkan Joseph Obasa, Tychique Bosango dan Aalia Carlson secara rasmi melengkapkan proses naturalisasi.

Selepas semua dokumentasi disempurnakan, ketiga-tiga pemain layak mewakili Malaysia dalam semua kejohanan di bawah FIBA, termasuk format 5 sebelah dan 3 sebelah.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan