EKONOMI

PERBELANJAAN SUBSIDI DIESEL SUSUT KEPADA RM6.2 BILION PADA 2025, JIMAT RM4 BILION - MOF

03/03/2026 09:55 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Perbelanjaan sebenar subsidi diesel berkurang kepada RM6.2 bilion pada 2025 berbanding RM10.1 bilion pada 2024, sekali gus mencatatkan penjimatan sebanyak RM4 bilion.

Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) memaklumkan penjimatan itu dicapai menerusi pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel di Semenanjung Malaysia melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS 2.0) yang dilaksanakan mulai 10 Jun 2024 hingga 31 Dis, 2025.

“Penyasaran subsidi diesel ini turut berjaya mengekang ketirisan akibat penyeludupan dan penggunaan oleh sektor perniagaan yang tidak layak, susulan penurunan pembelian diesel runcit di stesen minyak kepada empat bilion liter pada 2025 berbanding tujuh bilion liter pada 2024,” menurut MOF dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Penjelasan itu dibuat bagi menjawab pertanyaan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin mengetahui jumlah sebenar penjimatan hasil pelaksanaan rasionalisasi subsidi, termasuk bahan api dan bantuan bersasar, serta kaedah pengagihan semula penjimatan berkenaan kepada rakyat.

Menurut kementerian itu, hasil penjimatan subsidi dipulangkan semula kepada golongan yang memerlukan, manakala sebahagiannya disalurkan bagi tujuan pembangunan sosioekonomi dan memperkukuh jaringan perlindungan sosial yang lebih inklusif.

Antara inisiatif yang dibiayai termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), yang mencatatkan peruntukan tertinggi pernah disediakan berbanding RM8 bilion pada 2022, selain Program Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah hampir RM800 juta.

Sementara itu, MOF memaklumkan lebih 141,000 syarikat dengan 368,000 kenderaan telah mendapat manfaat daripada Program MySubsidi Diesel melalui SKDS sejak dilancarkan pada Jun 2024 hingga Januari 2026.

Bagi bantuan tunai di bawah BUDI Individu dan BUDI Agrikomoditi pula, seramai 344,817 penerima telah menerima agihan berjumlah RM1.05 bilion.

Justeru, pengekalan harga diesel bersubsidi bagi kenderaan logistik dan pengangkutan awam disifatkan sebagai langkah strategik bagi memastikan kos rantaian bekalan kekal stabil.

MOF turut menjawab pertanyaan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Pengkalan Chepa) mengenai impak penyasaran subsidi diesel terhadap kos pengangkutan dan harga makanan, termasuk mekanisme semakan berkala serta pampasan bersasar bagi mengelakkan kenaikan kos dipindahkan kepada pengguna.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan