AM

KKM LAKSANA PELBAGAI USAHA KURANGKAN TEMPOH MENUNGGU PESAKIT JANTUNG

04/03/2026 01:41 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengambil pelbagai usaha untuk mengurangkan tempoh menunggu pesakit jantung bagi jangka masa pendek dan sederhana merangkumi pembangunan, menaik taraf infrastruktur dan peralatan makmal invasif kardiologi (ICL).​​

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib berkata pembinaan ICL baharu di Hospital Melaka, Hospital Miri, Hospital Sibu dan Hospital Tawau akan beroperasi pada 2027.

“KKM menambah dua ICL di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang yang dijangka beroperasi pada 2028, sebagai tambahan kepada perkhidmatan tujuh ICL sedia ada dan mengganti peralatan ICL di 10 hospital dengan perkhidmatan kardiologi sedia ada, bermula Rolling Pelan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12 dan diteruskan sehingga tahun semasa,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar mengenai tindakan bagi mengatasi masalah tempoh menunggu yang lama bagi pesakit jantung melaksanakan angiogram dan pembedahan pintasan koronari (CABG) serta perancangan jangka pendek dan sederhana untuk menyediakan lebih banyak infrastruktur, kemudahan hospital, tenaga kerja, pakar dan peralatan.

Hanifah Hajar berkata projek naik taraf itu adalah untuk memastikan 26 ICL sedia ada beroperasi pada tahap optimum bagi rawatan angiogram dan Percutaneous Coronary Intervention (PCI) yang berkualiti dan selamat kepada pesakit.

Beliau berkata kerja menaik taraf dan penambahan dewan bedah kardiotorasik, pelarasan pengoperasian unit rawatan rapi jantung (CICU) serta perolehan dan penggantian peralatan berteknologi tinggi turut dilaksanakan bertujuan meningkatkan kapasiti rawatan secara progresif dan mengurangkan kebergantungan kepada penyumberluaran dalam jangka masa sederhana.

Bagi pembangunan tenaga kerja pula, Hanifah Hajar berkata KKM mengukuhkan laluan Parallel Pathway Pembedahan Kardiotorasik yang melahirkan graduan sejak 2022 dan program Universiti Teknologi Mara akan melahirkan graduan pertama pada tahun 2027.

“Unjuran adalah 45 pakar bedah kardiotorasik baharu menjelang 2027, menghampiri sasaran keperluan sekurang-kurangnya 46 pakar bedah kardiotorasik menjelang 2028,” katanya.

Hanifah Hajar berkata pengambilan latihan subkepakaran kardiologi juga ditambah daripada 20 kepada 40 slot pada setiap tahun bermula tahun ini.

Beliau berkata sasaran bilangan pakar kardiologi boleh mencapai 200 orang merangkumi pakar sedia ada dalam perkhidmatan setelah mengambil kira kadar atrisi (attrition) menjelang 2030 berbanding hanya 61 orang buat masa kini.

Menurut Hanifah Hajar, pengukuhan latihan subkepakaran anestesia kardiak dan perfusi bagi pemerkasaan pasukan pembedahan jantung turut dilaksanakan dan terdapat 21 pakar pelatih subkepakaran di hospital KKM pada masa ini, dengan empat sehingga enam pakar anestesia yang baharu daripada latihan subkepakaran itu setiap tahun.

“Sasaran menjelang 2030 adalah 40 pakar, sebagai tambahan kepada 14 pakar sedia ada,” katanya.

Selain itu, Hanifah Hajar berkata pihaknya turut menggalakkan lebih banyak jururawat dan staf kesihatan bersekutu untuk mengikuti latihan pos basik dan diploma lanjutan bagi meningkatkan kompetensi pasukan sokongan perkhidmatan jantung.

Beliau berkata penyumberluaran kes jantung ke Institut Jantung Negara adalah sebanyak 2,894 bagi kes angiogram, 2,137 bagi PCI, 770 kes pembedahan pintasan jantung dan 132 kes pembedahan injap pada tahun lalu.

Menurut Hanifah Hajar, sebanyak 2,682 kes angiogram dan 1,758 PCI serta 900 kes pembedahan pintasan jantung telah disumberluarkan ke hospital swasta dan hospital universiti menerusi inisiatif Program Penyumberluaran Perkhidmatan Hospital (HSOP) sejak 2024.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan