EKONOMI

KERAJAAN TELITI RISIKO INFLASI TOLAKAN KOS SUSULAN KETEGANGAN TIMUR TENGAH - MOHD SHAHAR

05/03/2026 11:56 AM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Kerajaan sedang meneliti kemungkinan wujud inflasi tolakan kos susulan konflik di Timur Tengah yang telah menyebabkan kenaikan harga minyak dan kos bahan api, kata Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Beliau berkata ketegangan di rantau itu, khususnya yang melibatkan Iran sebagai antara pengeluar minyak utama dunia, berpotensi memberi tekanan kepada kos tenaga dan seterusnya meningkatkan kos perdagangan global.

“Sudah pasti (ketegangan di Timur Tengah) berpotensi memberi tekanan kepada kos bahan api. Apabila aktiviti dagangan dijalankan, import dan eksport menggunakan logistik dan ia berpotensi meningkatkan harga. Ini yang dikenali sebagai inflasi tolakan kos.

“Kerajaan sedang memantau perkembangan ini dan mendapatkan maklumat sahih daripada pelbagai sumber untuk menentukan sama ada impaknya akan merebak dengan lebih meluas,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Mohd Shahar menjawab soalan tambahan Senator Tiew Way Keng mengenai sejauh mana kebergantungan ekonomi Malaysia terhadap bekalan pasaran di Timur Tengah memandangkan isu yang sedang berlaku di rantau itu akan menjejaskan ekonomi domestik.

Beliau berkata kerajaan terus memantau perkembangan konflik di Timur Tengah dan kekal komited untuk memastikan kebajikan rakyat terpelihara.

“Pada masa ini, kadar inflasi negara adalah terkawal. Berdasarkan tinjauan melalui Tinjauan Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) yang dijalankan setiap Rancangan Malaysia, kita melihat corak perbelanjaan isi rumah meningkat pada kadar yang lebih tinggi.

“Ini sedang dipantau dan kerajaan komited untuk memastikan kebajikan rakyat terus terjamin,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan