AM

PM ANWAR SANTUNI WARGA JPA PADA PROGRAM IHYA’ RAMADAN

06/03/2026 02:03 PM

PUTRAJAYA, 6 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyantuni kira-kira 400 warga Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada Program Ihya’ Ramadan.

Ketibaan Perdana Menteri di bangunan JPA pada 11.25 pagi disambut Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Sejurus tiba, Anwar mempengerusikan Mesyuarat Bersama Pengurusan Tertinggi JPA.

Kehadiran Perdana Menteri adalah lawatan pertama beliau ke JPA, sekali gus memberi ruang kepada jabatan untuk berkongsi perkembangan serta perkara strategik berkaitan usaha memperkukuh kecekapan, kemapanan dan reformasi perkhidmatan awam.

Ia juga mencerminkan kepentingan strategik jabatan berkenaan sebagai agensi pusat dalam penggubalan dasar serta pembangunan modal insan sektor awam.

Lawatan Anwar ke JPA turut menzahirkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh agenda reformasi institusi dan memastikan perkhidmatan awam terus relevan, berdaya saing dan responsif terhadap keperluan rakyat.

Program Ihya' Ramadan itu tertumpu kepada interaksi antara Perdana Menteri dan pengurusan tertinggi JPA bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan pengukuhan perkhidmatan awam sebagai usaha mempertingkat kecekapan sistem penyampaian kerajaan, pembangunan modal insan serta pengukuhan tadbir urus.

-- BERNAMA 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan