BEIJING, 6 Mac (Bernama-CMG) -- Presiden China Xi Jinping menyeru supaya provinsi Jiangsu terus berada di barisan hadapan dalam pembangunan kuasa produktif kualiti baharu.
Xi yang juga Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) berkata demikian semasa menyertai sesi perbincangan bersama wakil Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) dari provinsi Jiangsu sempena sidang keempat NPC ke-14 di sini, pada Khamis.
Beliau berkata pembangunan kuasa produktif kualiti baharu amat penting bagi mendorong pembangunan berkualiti tinggi dan meningkatkan daya saing ekonomi.
Menurut beliau, Jiangsu yang mempunyai asas kukuh perlu terus mencatat kemajuan dalam usaha itu.
Xi berkata Jiangsu perlu memperkukuh penyertaan dalam pasaran domestik yang bersatu secara menyeluruh sambil memperluas keterbukaan bertaraf tinggi dan terus meneroka pasaran global.
Beliau juga mahu provinsi itu mengambil inisiatif melaksanakan pelbagai tugas, termasuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti tinggi, meningkatkan pendapatan penduduk bandar dan luar bandar serta menambah baik perkhidmatan awam asas dan jaminan sosial ke arah merealisasikan kemakmuran bersama seluruh masyarakat.
--BERNAMA-CMG
