KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merakam keterangan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan cubaan untuk menjatuhkan kerajaan dan perbuatan sabotaj terhadap kestabilan negara.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata kesemua individu terbabit telah dikenal pasti bagi membantu kelancaran siasatan kes berkenaan yang turut dikaitkan dengan penglibatan individu berpengaruh serta agensi media antarabangsa.
Beliau berkata pihak polis akan terus memanggil beberapa individu lain untuk dirakam percakapan berdasarkan maklumat baharu yang diperoleh dari semasa ke semasa.
"Sehingga ke hari ini, kita telah mengambil tiga kenyataan daripada individu yang berkaitan. Kita sedang menjalankan siasatan dan akan meneruskan tindakan mengambil kenyataan ini pada masa akan datang," katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.
Mengenai sama ada keterangan individu berpengaruh yang merancang komplot tersebut telah dipanggil, Mohd Khalid berkata pihaknya belum merakamkan kenyataan individu berkenaan setakat ini.
Beliau berkata proses setakat ini memfokuskan kepada perakaman keterangan daripada pengadu yang membuat laporan polis serta beberapa pihak lain yang berkaitan.
Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan bahawa siasatan kes itu setakat ini tidak mempunyai sebarang hubung kait dengan siasatan lain yang sedang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mohd Khalid berkata siasatan lanjut dan terperinci masih diperlukan bagi mengenal pasti sekiranya terdapat sebarang kaitan atau campur tangan daripada pihak negara luar dalam kes tersebut.
-- BERNAMA
