JENAYAH & MAHKAMAH

JENAYAH SIBER DI MELAKA MENINGKAT KEPADA 591 KES, NILAI KERUGIAN LEBIH 11 JUTA

07/03/2026 11:39 PM

MELAKA, 7 Mac (Bernama) -- Sebanyak 591 kes jenayah siber dengan nilai kerugian RM11.78 juta direkodkan di Melaka dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, berbanding 398 kes dengan nilai kerugian RM9.06 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata peningkatan kes itu menunjukkan tahap kesedaran rakyat di Melaka masih rendah walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan seperti Kempen Internet Selamat serta penubuhan Taskforce Menangani Judi Atas Talian, Internet Fraud dan Jenayah Siber Negeri Melaka.

"Kes jenayah siber yang paling tinggi direkodkan di Melaka ialah penipuan jual beli dalam talian, ‘love scam’ serta pelaburan tidak wujud, manakala mangsa antaranya ibu tunggal dan penjawat awam.

"Untuk itu, sebagai contoh pada tahun lepas kita telah menggalakkan rakyat Melaka untuk membuat pembayaran secara tunai semasa serahan barang bagi mengelak berlaku penipuan ketika membuat urusan pembelian dalam talian," katanya kepada pemberita di Bazar Ramadan MITC Ayer Keroh di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Kempen Internet Selamat 2.0 yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Keroh Kerk Chee Yee dan Pengarah MCMC Melaka Khairol Nizam Mohd Mostar.

Fairul Nizam berkata pada tahun ini, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan RM50,000 bagi melaksanakan kempen kesedaran berkaitan penggunaan Internet menerusi jawatankuasa pasukan petugas berkenaan.

Beliau berkata usaha itu bagi meningkatkan lagi kesedaran rakyat Melaka berkaitan kepentingan menggunakan Internet dengan baik dan selamat termasuk memantau penggunaan Internet dalam kalangan anak-anak mereka.

“Tahun ini sebanyak 200 program komuniti akan dilaksanakan merentasi institusi pengajian tinggi, badan bukan kerajaan dan persatuan bagi melindungi institusi keluarga, kanak-kanak, belia dan warga emas.

"Selain itu, Kempen Internet Selamat (KIS) yang dianjurkan tahun lepas telah melibatkan lebih 12,200 pelajar di 320 sekolah, dan 11,300 rakyat melalui 37 program komuniti," katanya.

Terdahulu, Fairul Nizam berkata pada Kempen Internet Selamat 2.0 hari ini, sebanyak 500 kit Ramadan mengandungi risalah panduan keselamatan Internet diedarkan kepada pengunjung bazar selain membuka reruai di tapak bazar tersebut bagi sesi interaktif keselamatan siber, dan demonstrasoi pengaktifan kawalan ibu bapa.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan