AM

PM ANWAR SERTAI SOLAT JENAZAH PROFESOR DIRAJA SYED MUHAMMAD NAQUIB AL-ATTAS

09/03/2026 02:24 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai solat jenazah Allahyarham Profesor Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang juga tokoh pemikir peradapan kontemporari Islam di Masjid al-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini hari ini.

Anwar yang tiba pada 11.25 pagi turut disertai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi serta bekas Menteri Luar Tan Sri Syed Hamid Albar.

Solat jenazah diimamkan oleh anak Allahyarham iaitu Datuk Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas.

Turut berangkat memberi penghormatan terakhir Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. 

Hadir sama isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Bercakap kepada pemberita, Anwar berkata beliau dan isteri serta Fadillah hadir bagi mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan menyampaikan ucapan takziah pemimpin negara luar atas pemergian tokoh ilmuan tersohor itu.

Perdana Menteri berkata beliau secara peribadi mengenali secara dekat dan sempat belajar serta bekerjasama dengan Allahyarham dalam penghasilan beberapa risalah ilmiah, khususnya ketika mengetuai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Beliau berkata semasa di ABIM, pertubuhan itu menerbitkan naskah karya Allahyarham iaitu Islam dan Secularism dan Islam Dalam Sejarah Kebudayaan Melayu, iaitu satu naskah tentang sejarah dan budaya yang sangat unggul dan mantap.

“Jadi kita banyak menerima ilmu daripada beliau, malah masa dalam ABIM pun kita bawa dia keliling seluruh Malaysia sebelum Allahyarham terus memberi sumbangan besar dalam dunia keilmuan ketika di Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa serta Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC).

“Dengan pemergian beliau, negara tentunya kehilangan satu tokoh ilmuan ulung, malah dunia turut merasakan kehilangan tokoh terkenal ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan turut menerima ratusan mesej ucapan takziah daripada pemimpin dan tokoh akademik luar negara termasuk Turkiye, Iraq dan Pakistan yang turut merasai kehilangan tokoh ilmuan ulung dari Malaysia itu.

Sementara itu, Anwar berkata gelaran Profesor Diraja yang diberikan kerajaan dan pengurniaan watikah disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim merupakan antara usaha yang diambil kerajaan dalam menghargai sumbangan Allahyarham terhadap negara terutama dalam bidang pendidikan Islam.

Perdana Menteri berkata beliau akan berbincang dengan keluarga Allahyarham untuk menjadikan perpustakaan Syed Muhammad Naquib al-Attas di ISTAC sebagai gedung khas atas nama Allahyarham sebagai tanda penghargaan berterusan atas setiap sumbangan yang diberikan dalam bidang pendidikan.

Pada Oktober 2024, Allahyarham dikurniakan Profesor Diraja, iaitu gelaran tertinggi dikurniakan kepada ahli akademik yang memberikan sumbangan bernilai kepada masyarakat serta kemajuan Malaysia yang dianugerahkan kepada seseorang profesor oleh Yang di-Pertuan Agong.

Satu-satunya tokoh yang pernah menerima gelaran Profesor Diraja adalah Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid pada 1978.

Syed Muhammad Naquib meninggal dunia pada 6.47 petang semalam, pada usia 95 tahun dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara tengah hari tadi.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan