AM

JAS KEDAH TAHAN OPERASI ENAM MESIN PROSES SISA PLASTIK

10/03/2026 12:05 PM

ALOR SETAR, 10 Mac (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) terhadap enam mesin memproses sisa plastik dalam Ops Gempur di sebuah premis di kawasan Perindustrian Bukit Selambau, dekat Sungai Petani, semalam.

Pengarah JAS Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata operasi bermula 9 pagi hingga 3 petang itu dijalankan hasil pemantauan berterusan oleh pihak penguat kuasa JAS terhadap aktiviti industri yang berpotensi mencemarkan alam sekitar.

“Hasil pemeriksaan mendapati, premis terbabit menjalankan aktiviti pembersihan dan penyemperitan sisa plastik yang diproses bagi menghasilkan pelet plastik. 

“Tindakan POK di bawah Seksyen 38 (1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah dikenakan ke atas enam mesin penyemperit plastik serta sistem kawalan pencemaran udara digunakan dalam proses pengeluaran di premis itu serta tanpa kebenaran JAS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut juga menemukan sejumlah besar bahan mentah dan produk siap di premis itu termasuk 1,000 jumbo bag atau lebih kurang 500 metrik tan sisa plastik dipercayai digunakan sebagai bahan mentah dalam proses pembuatan.

“Pegawai penguat kuasa turut menjumpai lebih kurang 110 metrik tan produk siap iaitu pelet plastik yang dibungkus di dalam 4,400 guni dengan setiap guni dianggarkan seberat 25 kilogram. Sampel sisa plastik serta produk pelet plastik diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis makmal.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 34A (6) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. JAS Kedah akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan industri terhadap undang-undang alam sekitar serta tidak memberi kesan negatif kepada kesihatan awam dan alam sekitar,” katanya.

Sharifah Zakiah turut meminta orang awam menyalurkan maklumat atau melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau melalui http://eaduan.doe.gov.my.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan