KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) mengekalkan saranan “neutral” terhadap sektor pengangkutan, dengan konflik di Asia Barat dijangka memberi impak terhad kepada Westports Holdings Bhd manakala syarikat logistik berpotensi mendapat manfaat daripada kadar pengangkutan yang lebih tinggi.
Menurut RHB IB, Westports sebagai pengendali pelabuhan kontena, kargo konvensional hanya menyumbang 6.2 peratus daripada hasil operasi tahun kewangan 2025 dan berdasarkan ujian kepekaan bank, kenaikan kos bahan api sebanyak 10 peratus boleh mengurangkan unjuran pendapatan Westports untuk tahun kewangan 2026 sebanyak satu peratus.
“Bagaimanapun, ini dapat dikurangkan jika aliran kargo dialihkan atau disatukan melalui hab alternatif di Asia susulan penutupan Selat Hormuz, yang berpotensi meningkatkan jumlah penghantaran.
“Oleh itu, kami percaya pertumbuhan pendapatan Westports kekal utuh berdasarkan kenaikan tarif secara berperingkat dan unjuran pertumbuhan kontena sebanyak 4.5 peratus,” katanya.
Bagi logistik, RHB IB memaklumkan kenaikan kos bahan api biasanya dipindahkan kepada pelanggan akhir melalui surcaj bahan api dan berdasarkan pemerhatian bank, kadar pengangkutan adalah stabil di kebanyakan laluan minggu lepas kecuali Shanghai-New York dan Shanghai-Los Angeles.
“Selain itu, kedua-dua syarikat logistik di bawah liputan kami mempunyai hubungan langsung yang terhad dengan Timur Tengah dan jumlah penghantaran ke rantau itu menyumbang kurang daripada dua peratus daripada jumlah keseluruhan,” katanya.
-- BERNAMA
