KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan meningkatkan pemantauan serta penguatkuasaan di sempadan negara, bagi mengekang risiko penyeludupan bahan api susulan kenaikan harga minyak dunia akibat konflik di Asia Barat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata KPDN akan mempergiat pelaksanaan Ops Tiris dalam memastikan bekalan bahan api tidak diseludup keluar ke negara jiran.
“Harga minyak dunia jauh meningkat sekarang, telah melebihi US$100 setong. Jadi risiko penyeludupan itu tetap berlaku kerana harga industri akan naik mengikut harga pasaran.
“Selain itu, jika dibandingkan dengan harga (bahan api) di negara-negara jiran yang tidak ada subsidi sebagaimana kita, ada kecenderungan risiko agak besar berlakunya penyeludupan. Maka kita akan meningkatkan penguatkuasaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya dan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Aidilfitri di sini hari ini.
Ketegangan di Asia Barat meruncing sejak 28 Feb susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan berusaha sedaya mungkin untuk mengekalkan harga RON95 pada paras RM1.99 seliter supaya tidak membebankan rakyat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata meskipun harga minyak dilaporkan semakin meningkat di pasaran global, keadaan di negara ini masih lagi terkawal dengan ketetapan harga RON95 yang rendah menerusi subsidi bersasar.
-- BERNAMA
