Oleh Nur Fadhliana Shaari
JOHOR BAHRU, 10 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor tidak akan sesekali meluluskan sebarang projek termasuk pembangunan data sekiranya ia membawa kesengsaraan kepada rakyat, kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau berkata sebagai kerajaan bertanggungjawab, pihaknya tidak sama sekali akan memperjudikan nasib rakyat semata-mata bagi meraih pelaburan besar dan kerajaan akan mengambil kira pelbagai faktor sebelum meluluskan sebarang projek pembangunan.
“Kita tidak sekali-sekali akan membiarkan rakyat sengsara dengan membuat keputusan yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam temu bual bersama Bernama yang diketuai Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj di Saujana, Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor, di sini ,baru-baru ini.
Onn Hafiz berkata, beliau sedar isu kecukupan bekalan air dan elektrik sering menjadi polemik di negeri itu susulan Johor menjadi tumpuan syarikat asing untuk membangunkan pusat data, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai lonjakan penggunaan utiliti bagi operasi kemudahan itu.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan telah meneliti pelan perancangan bekalan air Johor secara menyeluruh merangkumi projek jangka pendek, sederhana dan panjang sebagai langkah strategik bagi memastikan bekalan air Johor kekal stabil.
Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata sebanyak 38 projek melibatkan peruntukan RM15.3 billion akan dilaksanakan bagi memperkukuhkan usaha jaminan bekalan air di negeri Johor sekali gus menyokong keperluan rakyat serta pertumbuhan pesat sektor industri dan pelaburan di negeri ini.
Berhubung pembinaan pusat data, beliau berkata kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Pusat Data Negeri Johor (JPPPDNJ) akan menilai permohonan pembangunan pusat data dan melihat keperluan air dan elektrik oleh syarikat berkenaan.
Beliau menegaskan jawatankuasa berkenaan hanya meluluskan pembangunan pusat data bertaraf Tier 3 dan Tier 4 yang menggunakan teknologi penyejukan yang tidak memerlukan penggunaan air yang banyak.
“Pusat data kalau dia memerlukan penggunaan air yang tinggi, kami tidak akan meluluskannya,” katanya.
Onn Hafiz berkata, isu berkaitan air dan pusat data itu muncul apabila ada pihak mendakwa gangguan bekalan air di Simpang Renggam dan Benut baru-baru ini mempunyai kaitan dengan pembangunan pusat data, sedangkan tidak ada sebuah pusat data pun yang beroperasi di kawasan tersebut.
“Rayuan saya kepada rakyat Bangsa Johor, kita kena hati-hati bila dengar berita dan hasutan tidak bertanggungjawab, maklumat mesti kita vet through (saring) sebelum kita membuat apa-apa keputusan,” katanya.
Onn Hafiz berkata beliau terpanggil untuk menjelaskan perkara itu kerana khuatir pelabur kurang senang dengan isu berkenaan.
“Perkara seperti ini akan ada impak kepada pelabur yang masuk ke negeri ini, kalau mereka (pelabur) percaya apa yang di uar-uarkan, mereka akan tarik handbrake dan tidak masuk ke Johor.
“Sebab itu saya memilih untuk bersuara kerana saya hendak bagi keyakinan bukan saja kepada rakyat Bangsa Johor tetapi juga kepada pelabur yang ingin melabur di Johor. Kita perlu terus wujudkan keyakinan, itu yang paling penting,” katanya.
Johor muncul sebagai peneraju pelaburan pusat data negara dengan 42 projek bernilai RM164.45 bilion diluluskan setakat suku kedua 2025.
Perkembangan itu turut menyumbang kira-kira 7.8 peratus kepada kapasiti teknologi maklumat (IT) operasi Malaysia selain mewujudkan kira-kira 6,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, manakala menjelang 2030 kira-kira 60 peratus kapasiti pusat data negara disasarkan tertumpu di Johor.
Tahun lepas kerajaan negeri dilapor menghentikan sebarang kelulusan baharu bagi pembangunan pusat data bertaraf Tier 1 dan Tier 2.
-- BERNAMA
