JENAYAH & MAHKAMAH

BAKAR KENDERAAN: POLIS BUKA TIGA KERTAS SIASATAN

10/03/2026 10:05 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Polis telah membuka tiga kertas siasatan berhubung insiden khianat membakar kenderaan serta ugutan jenayah di kawasan perumahan Taman Kinrara, Puchong yang berlaku semalam dan hari ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata siasatan itu dijalankan selepas pihaknya menerima dua laporan berhubung insiden di lokasi sama.

Beliau berkata dua kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat serta ugutan jenayah manakala satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 435 kanun sama berkaitan khianat dengan api melibatkan kenderaan.

Shazeli berkata polis kini menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti motif serta menjejaki pelaku, dan memberi amaran kepada masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi mahupun provokasi berhubung insiden itu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum serta ketenteraman awam.

"Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang. Orang ramai diminta untuk memberikan ruang sepenuhnya kepada pihak polis bagi melengkapkan proses siasatan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan