TAIPING, 10 Mac (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) menerima 398,671 permohonan pendaftaran bagi kemasukan tahun satu pada 2027 setakat semalam, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.
Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 338,714 murid bagi umur tujuh tahun manakala 59,957 melibatkan kemasukan pada umur enam tahun.
“Akhir bulan ini kami akan dapat statistik ataupun pendaftaran secara muktamad dan daripada situlah kami boleh menentusahkan angka sebenar ataupun permintaan yang sebenar berkaitan dengan sekolah mana yang memerlukan penambahan bilik darjah.
“.. tetapi itu bukan bermakna kami sekarang tidak ada rancangan… tidak. Sememangnya sekolah yang mungkin dari segi trend, dari segi tradisi mungkin akan menarik lebih banyak kemasukan murid, kami sudah bersedia dengan pemetaan kami tetapi kami akan muktamad pada akhir bulan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Program Jaulah Ramadan Kementerian Pendidikan di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Maahad Al-Tarbiah, Al-Islamiah di sini hari ini.
Sementara itu, Wong berkata pengambilan 20,000 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG9 baharu secara perkhidmatan kontrak (CoS) bulan ini sebagai langkah jangka pendek bagi menampung keperluan tenaga pengajar susulan jangkaan pertambahan murid tahun satu pada 2027.
Beliau berkata pengambilan itu menyasarkan graduan universiti yang tidak memiliki ikhtisas pendidikan dan bertujuan memastikan sekolah mempunyai tenaga pengajar mencukupi apabila berlaku kemasukan murid tambahan.
Menurut Wong, langkah itu diambil berikutan jangkaan situasi kohort berganda apabila murid berusia enam tahun mula memasuki tahun satu pada 2027.
“Kami jangka akan ada satu situasi kohort berganda, daripada situ tidak kiralah dari segi prasarana, ketersediaan bilik darjah ataupun ketersediaan guru itu, kami memang telah pun ada rancangan,” katanya.
-- BERNAMA
