KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru umat Islam di negara ini untuk kembali kepada ajaran al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW dalam menghadapi cabaran global masa kini.
Baginda bertitah pada masa sebahagian dunia digegarkan dengan konflik dan perang, umat Islam di mana-mana sahaja merasai kesakitan dan penderitaan ummah.
“Banyak umat Islam hari ini berhadapan dengan ujian berat, terutamanya di Asia Barat.
“Pada saat seperti ini, tindak balas paling wajar bagi kita sebagai orang yang beriman ialah untuk kembali kepada al-Quran dan panduan Nabi Muhammad,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada program World #QuranHour di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.
Selain itu, baginda juga mengingatkan umat Islam untuk memohon petunjuk dan perlindungan Allah SWT bagi saudara seagama di mana sahaja mereka berada serta berusaha mengukuhkan perpaduan dalam ummah.
Berhubung inisiatif World #QuranHour, Al-Sultan Abdullah bertitah baginda bukan sahaja berharap orang ramai membaca al-Quran, tetapi juga berusaha untuk memahami mesej mukjizat terbesar Nabi Muhammad.
Baginda bertitah al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab, bahasa yang menyatukan umat Islam merentas negara, budaya dan bangsa.
“Tanpa mengira latar belakang kita, al-Quran mengikat kita sebagai satu ummah,” titah baginda.
Sementara itu, penganjur program dan pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) Datuk Hussamuddin Yaacub berkata titah Sultan Pahang selari dengan tema program tahun ini, iaitu “Membentuk Manusia Sebelum Membina Dunia”.
Beliau berkata konflik di Asia Barat masa ini menunjukkan kegagalan pemimpin di wilayah itu menegakkan nilai Islam seperti digariskan dalam ajaran al-Quran.
Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang juga Ketua Perlembagaan UIAM turut berangkat ke program itu.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah, Presiden UIAM Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Rektor UIAM Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar.
-- BERNAMA
