AM

KECUAIAN PEMANDU PUNCA KEMALANGAN KERETA API DI TENOM

11/03/2026 09:14 PM

KOTA KINABALU, 11 Mac (Bernama) -- Kecuaian pemandu Railbus RB8801 yang gagal menjalankan pemeriksaan ke atas jentera sebelum memulakan perjalanan dikenal pasti sebagai punca kemalangan kereta api melanggar motor troli di KM134/4 di Tenom, pada 3 Mac.  

Timbalan Ketua Menteri III Sabah Datuk Ewon Benedick berkata pemandu tidak menutup isolating valve pada Tenom End Driving Cab serta tidak menjalankan ujian dinamik bagi memastikan sistem brek berfungsi dengan baik.

“Kecuaian itu menyebabkan sistem brek kereta api berkenaan tidak berfungsi sepenuhnya dan mengakibatkan perlanggaran dengan motor troli,” katanya semasa ditemui pemberita pada program penyerahan pek berbuka puasa kepada penumpang kereta api di Stesen Aeropod di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) Mohammad Safri Abdul Habi.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata pemandu kereta api itu telah memeriksa dan membetulkan kedudukan isolating valve selepas kenderaan itu berhenti di KM133/8. 

“Ujian pandu yang dijalankan selepas itu mendapati sistem brek berfungsi dengan baik, membolehkan kereta api kembali ke Stesen Tenom tanpa perlu diselamatkan atau ditarik oleh jentera lain.

“Pemeriksaan oleh penolong jurutera sejurus kereta api kembali ke stesen mengesahkan sistem brek beroperasi sepenuhnya,” katanya.

Ewon berkata perkhidmatan kereta api kembali normal pada 4 Mac dengan menggunakan jentera yang sama dan sehingga kini RB8801 beroperasi tanpa sebarang masalah.

Beliau berkata dapatan itu hasil siasatan menyeluruh oleh Board of Enquiry (BOE)  yang meliputi laporan kejadian, keterangan petugas Bahagian Kejuruteraan Jentera, rakaman Digital Mobile Video Recorder pada jentera serta pemeriksaan teknikal dan simulasi di lokasi kejadian.

Beliau berkata berdasarkan keputusan Jawatankuasa Siasatan Badan Penyiasatan Dalaman JKNS, tindakan tatatertib akan disyorkan terhadap pemandu mengikut Peraturan-Peraturan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah 2008 [Tatakelakuan Perkara 208(2)(j)] kerana cuai dalam menjalankan tugas.

Selain itu, Ewon berkata JKNS akan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) termasuk aspek pengoperasian, penyelenggaraan dan pemanduan bagi meningkatkan tahap pematuhan keselamatan, khususnya pemandu kereta api dan pembantunya bagi memastikan insiden seperti itu tidak berulang. 

“Keperluan memperketat dan menambah baik SOP terutama untuk pemandu dan pembantu dibangkitkan dalam BOE untuk memastikan semua perkara berkaitan pergerakan kereta api dibuat terlebih dahulu sebelum memulakan operasi,” katanya.

Beliau berkata jabatan itu juga memberi jaminan operasinya selamat digunakan orang awam.

Dalam pada itu, Ewon turut mengingatkan penduduk berdekatan landasan kereta api supaya memastikan keselamatan dengan tidak menjalankan sebarang aktiviti di lokasi tersebut.

Ewon berkata berdasarkan Enakmen Keretapi Negeri Sabah 2017, kawasan rezab kereta api ialah kawasan larangan dan sebarang aktiviti di kawasan landasan perlu mendapat kelulusan Menteri melalui syor Pengarah JKNS. 

Beliau berkata penggunaan motor troli yang dibina menggunakan motosikal di landasan tanpa kebenaran merupakan satu kesalahan dan boleh menyebabkan kerosakan rel serta menjejaskan keselamatan operasi kereta api.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan