KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia menahan 9,497 warga asing atas pelbagai kesalahan menerusi 2,618 operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan di seluruh negara bagi tempoh 1 Jan hingga 9 Mac lepas.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata daripada jumlah tangkapan itu, sebanyak 1,158 individu ditahan bagi kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, iaitu melanggar syarat pas.
Beliau berkata kebanyakan mereka didapati menyalahgunakan kemudahan pas yang diberi, khususnya Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan Pas Lawatan Sosial (PLS) bagi tujuan menjalankan aktiviti yang tidak selaras dengan syarat pas.
“Pihak imigresen memandang serius penglibatan segelintir warganegara asing yang dikesan menyalahgunakan PLS untuk masuk sebagai pelancong, namun sebaliknya menjalankan aktiviti pekerjaan di premis seperti restoran atau kilang," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Zakaria berkata lima warganegara tertinggi yang ditahan bagi kesalahan melanggar syarat pas terbabit ialah Bangladesh sebanyak 532 orang, diikuti Thailand (248), Indonesia (111), China (86) dan Pakistan (51).
Zakaria berkata daripada 1,158 tangkapan, sejumlah 482 individu ditangkap atas kesalahan menyalahgunakan PLS meliputi 235 warganegara Thailand, diikuti Bangladesh (83), China (62), Indonesia (62), Pakistan (13), manakala 27 lagi lain-lain warganegara.
“Siasatan awal mendapati sebahagian daripada mereka terlibat secara aktif dalam pengurusan dan pengendalian premis perniagaan tanpa kebenaran yang sah.
"Jabatan Imigresen Malaysia menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dan tiada kompromi akan diberikan terhadap mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan kemudahan imigresen negara," katanya.
-- BERNAMA
