DUNIA

KRISIS ASIA BARAT: PUTERA MAHKOTA SAUDI, PRABOWO GESA TINDAKAN KETENTERAAN DIHENTIKAN

12/03/2026 12:09 PM

JAKARTA, 12 Mac (Bernama) -- Putera Mahkota Arab Saudi dan Perdana Menteri Mohammed bin Salman dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto pada Khamis, mengadakan perbincangan mengenai situasi ketenteraan yang semakin melonjak di Asia Barat dan implikasinya terhadap keamanan serantau serta global.

Kementerian Luar Arab Saudi dalam kenyataan yang disiarkan di media sosialnya memaklumkan perbincangan itu berlangsung semasa panggilan telefon antara kedua-dua pemimpin.

Menurut kementerian itu, ketika perbualan, Prabowo menekankan keperluan untuk menghentikan segera tindakan ketenteraan di rantau berkenaan, memberikan amaran bahawa peningkatan berterusan boleh menjejaskan keselamatan dan kestabilan serantau.

Beliau juga menekankan kepentingan mempergiat usaha diplomatik bagi mencegah keadaan menjadi lebih teruk serta memelihara keamanan di rantau tersebut.

Ketegangan di Asia Barat semakin meruncing beberapa hari kebelakangan ini berikutan siri tindakan ketenteraan, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemimpin serantau dan antarabangsa mengenai risiko ketidakstabilan yang lebih meluas.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan