KOTA KINABALU, 12 Mac (Bernama) -- Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah menahan seorang lelaki tempatan selepas disyaki menjual beberapa bahagian hidupan liar dilindungi di sebuah gerai di tapak Tamu Tenghilan, dekat Tuaran.
Pengarahnya Mohd Soffian Abu Bakar berkata lelaki berumur 30 tahun itu ditahan dalam operasi pemeriksaan penguatkuasaan dilaksanakan Pasukan Tindak Balas Pantas jabatan berkenaan sekitar 8.05 pagi tadi.
Beliau berkata tindakan itu dibuat hasil daripada maklumat Unit Risikan JHL Sabah berkaitan aktiviti penjualan bahagian hidupan liar di kawasan tersebut.
“Terdapat rampasan iaitu beberapa bahagian haiwan disyaki hidupan liar dilindungi yang dipamer untuk dijual secara haram antaranya dua batang kuku beruang madu, satu bahagian tangan beruang madu, satu batang gigi beruang madu, satu keping sisik tenggiling, satu batang tanduk kijang dan enam belas batang duri landak.
“Lelaki tersebut ditahan bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar (EPHL) 1997,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Di bawah enakmen itu, Mohd Soffian berkata sebarang aktiviti perdagangan hidupan liar dilindungi hendaklah mendapatkan lesen atau permit sah dikeluarkan oleh JHL Sabah.
Walau bagaimanapun, beliau berkata tiada sebarang permit dikeluarkan oleh jabatan itu bagi perdagangan, pemilikan atau penyimpanan spesies beruang madu dan tenggiling kerana kedua-dua spesies itu berada di bawah kategori Dilindungi Sepenuhnya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata individu didapati memiliki, menyimpan, menjual atau memperdagangkan spesies tersebut atau mana-mana bahagiannya tanpa kebenaran adalah satu kesalahan di bawah EPHL 1997.
“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 dan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi lima tahun,” katanya.
-- BERNAMA
