KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 15 dan ke bawah yang disalurkan hari ini membuktikan kerajaan terus menghargai sumbangan golongan itu biarpun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
Di PUTRAJAYA, Penolong Pegawai Perhubungan Awam Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pendidikan Tinggi Zairul Azwan Zainal berkata walaupun ada pihak memperlekehkan jumlah bantuan itu, namun nilainya cukup besar kepada kebanyakan penjawat awam.
“Bantuan ini membantu meringankan beban, kos dan bajet untuk sambutan hari raya tahun ini. Tambahan pula, hari raya ini tidak lama selepas anak-anak mula bersekolah awal Januari lepas.
“Pesanan saya kepada rakan penjawat awam yang lain, terus berhemat dalam perbelanjaan raya tahun ini. Belanja apa perlu, bersesuaian dengan pesan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar rakyat dapat berjimat cermat, lebih-lebih lagi dengan kesan konflik di Asia Barat baru-baru ini,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Peperiksaan dan Penilaian di Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Syakira Mansor, 42, berkata walaupun persiapan raya untuk keluarga telah disediakan lebih awal, BKK akan dimanfaatkan sebagai belanja tambahan untuk duit raya buat ahli keluarga lain.
“Persiapan raya sudah sedia, jadi saya boleh tambah bajet duit raya untuk ahli keluarga. Biasanya saya sediakan antara RM1,000 hingga RM2,000 untuk duit raya dan saya jenis menyimpan awal khas untuk duit raya keluarga dan anak-anak saudara,” katanya.
Di TERENGGANU, Siti Jamilah Hanim Jamil, 42, berkata dia sememangnya menunggu bantuan yang diterima hari ini untuk membeli kelengkapan hari raya buat lima anaknya yang berusia empat hingga 15 tahun.
Penerbit Rancangan di Jabatan Penyiaran Terengganu itu juga bersyukur kerana kerajaan turut menyalurkan bantuan itu kepada kakitangan kontrak sepertinya.
“Alhamdulillah saya bersyukur dengan bantuan ini. Baru hari ini saya sempat bawa anak-anak keluar mencari keperluan hari raya kerana sebarang persiapan pun saya belum buat lagi,” katanya.
Beliau yang berasal dari Kemaman berkata selain kekangan tugas, dia juga tidak melakukan sebarang persiapan sempena Aidilfitri kerana pendapatannya hanya cukup untuk menampung perbelanjaan dan komitmen bulanan.
Sementara itu di PAHANG, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan Tanah Rata, Tuan Sharifah Shahaini Tuan Dagang, 51, berkata BKK yang diterima akan dimanfaatkan bagi menampung perbelanjaan perjalanan pulang ke kampung di Lipis dan Kuantan bagi menyambut Aidilfitri.
Bagi Personel MySTEP di Jabatan Perangkaan Pahang Siti Zakiyah Ahmad Dzaki, 38, pula BKK akan digunakan untuk membeli keperluan makanan, menyediakan duit raya serta menampung kos perjalanan pulang ke kampung di Keratong.
Pemberian BKK diumumkan Perdana Menteri semasa pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Okt lepas.
Selain penjawat awam, BKK turut disalurkan kepada pesara kerajaan, veteran berpencen dan veteran tidak berpencen dengan bayaran RM250.
-- BERNAMA
