KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Seorang pengarah syarikat industri minyak dan gas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu baucar bayaran membabitkan kerja pembinaan infrastruktur di luar negara berjumlah RM4.2 juta, lapan tahun lepas.
Sohpian Ariffin, 46, didakwa mengemukakan tiga baucar bayaran Syarikat Hadid Engineering (M) Sdn Bhd Submission of Reimbursement for Overseas Project KPO bertarikh 13 Nov 2018, 22 April 2019 dan 4 Feb 2020 yang diketahuinya mengandungi butiran palsu.
Dokumen itu diberikan kepada pegawai kewangan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) di pejabat MTDC di Jalan Bukit Bintang di sini dengan niat memperdayakannya sedangkan kerja pembinaan infrastruktur minyak dan gas itu tidak pernah dilakukan oleh syarikat tersebut.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama, memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa SPRM A. Selvam menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM Putrajaya, pasport diserahkan kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi sehingga kes selesai.
Peguam Riza Makhzan Arifin yang mewakili Sohpian memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya menanggung isteri dan empat anak serta menghidap asma.
Hakim Suzana Hussin membenarkan jaminan RM60,000 bagi tiga pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dimohon pendakwaan dan menetapkan 21 April untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
