EKONOMI

MALAYSIA DI KEDUDUKAN KUKUH, TERIMA KASIH PADA STATUS PENGEKSPORT TENAGA BERSIH DAN PEMBAHARUAN SUBSIDI

13/03/2026 06:11 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Malaysia berada pada kedudukan yang jauh lebih kukuh berbanding negara jirannya dalam menangani krisis tenaga global kerana negara ini merupakan pengeksport tenaga bersih, rizab petroleum yang mencukupi sehingga Mei 2026 dan ruang fiskal daripada rasionalisasi subsidi.

Pengerusi Badan Pemikir Social and Economic Research Initiative Bhd (SERI) Dr Helmy Haja Mydin berkata Malaysia tidak terpaksa mengambil sebarang langkah tambahan memandangkan kerajaan MADANI berjaya dalam pengurusan fiskal dan komitmennya untuk mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter sebagai langkah pelindungan penting.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan perlu jelas mengenai siapa yang dilindungi dan siapa yang tidak.

“Subsidi RON95 melindungi harga di pam, tetapi ia tidak melindungi daripada kesan kos sekunder seperti kenaikan harga makanan, tambang pengangkutan yang lebih tinggi dan kos barangan serta perkhidmatan yang sudah terasa dalam ekonomi.

“Bagi isi rumah B40, di mana 47 peratus rakyat Malaysia melaporkan sukar untuk mengumpul RM1,000 dalam tabung kecemasan, ruang kewangan mereka sangat terhad. Krisis minyak tidak perlu sampai ke pam petrol untuk menjejaskan hidangan di meja makan,” katanya dalam satu kenyataan.

Helmy berkata SERI menyeru kerajaan untuk mempertimbangkan beberapa langkah sebagai sebahagian daripada tindak balas krisis, seperti memperluas dan mempercepatkan pemberian bantuan tunai bersasar, memantau serta mengehadkan kenaikan harga barangan penting, melindungi perusahaan kecil dan sederhana daripada kos berganda serta menyediakan langkah kecemasan sekiranya krisis berpanjangan.

Bagi badan pemikir, masyarakat sivil dan institusi dasar seperti SERI, beliau berkata ini bukan sekadar kebimbangan geopolitik; ia adalah persoalan asas sama ada struktur yang sepatutnya melindungi golongan terpinggir dan menegakkan keadilan masih berfungsi.

“Kami menyeru semua pihak yang terlibat dalam konflik agar menghentikan segera peperangan dan kembali ke meja rundingan.

“Kami turut menggesa komuniti antarabangsa untuk mengutamakan akses kemanusiaan, melindungi orang awam dan berusaha ke arah keamanan yang adil dan berkekalan. Kami juga mengingatkan para pembuat dasar di mana-mana bahawa kos peperangan tidak pernah ditanggung secara sama rata — ia paling menekan golongan miskin, pelarian dan mereka yang dilupakan,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan