DUNIA

RINGGIT DIUNJUR DINIAGA DALAM JULAT 3.93-3.98 MINGGU DEPAN SUSULAN PEMANTAUAN HARGA MINYAK

14/03/2026 10:41 AM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Ringgit diunjur diniagakan dalam julat antara RM3.93 hingga RM3.98 minggu depan berikutan pelabur akan terus memantau dengan teliti trajektori harga minyak mentah.

Bercakap kepada Bernama, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam  Abdul Rashid berkata peniaga dan pelabur akan terus memberikan tumpuan terhadap perang di Iran pada minggu hadapan.

Berkongsi pandangan yang sama, Kenanga Investment Bank Bhd menjangka pelabur terus berhati-hati dan mengurangkan pegangan terhadap aset pasaran pesat membangun yang lebih sensitif terhadap turun naik pasaran.

“Walaupun Malaysia menerima keuntungan yang lebih besar daripada gas asli cecair yang menawarkan sedikit perlindungan, ringgit dijangka kekal terhad dan diniagakan tidak berubah dengan kecenderungan menyusut pada paras RM3.93-RM3.95 berbanding dolar AS.

“Jangkaan asas kami adalah ketegangan tidak reda dengan segera dan laluan bekalan utama di Asia Barat masih terdedah kepada risiko.

“Harga tenaga yang tinggi dijangka mengekalkan risiko inflasi global dan hasil bon pada paras lebih tinggi sekali gus menyebabkan keadaan kewangan yang lebih sukar dan mengurangkan kemungkinan untuk Rizab Persekutuan melonggarkan dasar monetari dalam tempoh terdekat,” katanya dalam nota penyelidikan pada Jumaat.

Bagi perbandingan secara mingguan, ringgit mengakhiri minggu ini dengan tinggi berbanding dolar AS apabila ditutup kepada 3.9365/9410 berbanding 3.9425/9535 pada Jumaat sebelum ini.

Mata wang tempatan diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama minggu ini.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.4683/4715 daripada 2.4973/5044 pada minggu sebelumnya, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.2214/2273 daripada 5.2530/2676 dan menokok berbanding euro kepada 4.5093/5144 daripada 4.5634/5762 sebelumnya.

Sementara itu, ringgit turut menunjukkan trend kukuh berbanding mata wang serantau ASEAN.

Mata wang tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0730/0767 daripada 3.0779/0867 pada minggu sebelumnya, mengukuh berbanding baht Thai kepada 12.1862/2062 daripada 12.3392/3810, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 232.1/232.5 daripada 232.9/233.6 dan menokok berbanding peso Filipina kepada 6.59/6.60 daripada 6.68/6.70 sebelumnya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan