DUNIA

NIAGA HADAPAN EMAS DIJANGKA DINIAGAKAN DALAM JAJARAN LEBIH TINGGI MINGGU DEPAN

14/03/2026 10:43 AM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam jajaran yang lebih tinggi minggu depan susulan pasaran minyak kini mempengaruhi naratif makroekonomi yang lebih besar.

Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata jika krisis Asia Barat tidak menunjukkan tanda-tanda reda dan harga minyak mentah menghampiri senario terburuk sekitar US$120, pemantauan minggu ini menunjukkan tekanan tambahan ke atas emas daripada hasil yang lebih tinggi dan dolar yang lebih kukuh.

"Di bawah keadaan normal, emas dijangka diniagakan dalam julat lebih kurang US$50 minggu ke minggu tetapi ketidaktentuan semasa dalam pasaran tenaga menjadikan julat tersebut tidak boleh dipercayai sepenuhnya.

"Pada masa sekarang, saya melihat julat yang lebih tinggi iaitu sekitar US$5,025 hingga US$5,125," katanya kepada Bernama.

Berdasarkan dagangan mingguan, Mac 2026 menurun kepada US$5,103.8 setiap auns troy daripada US$5,128.50 setiap auns troy.

April 2026 turun kepada US$5,122.6 setiap auns troy daripada US$5,147.0 setiap auns troy manakala Mei 2026 menyusut kepada US$5,141.8 setiap auns troy daripada US$5,166.10 setiap auns troy sebelumnya.

Kontrak Jun dan Ogos 2026 juga ditutup lebih rendah pada US$5,175.7 setiap auns troy daripada US$5,200.0 setiap auns troy sebelumnya.

Jumlah dagangan mingguan menyusut kepada 48 lot daripada 73 lot minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka merosot kepada 78 kontrak berbanding 100 kontrak.

Emas fizikal ditetapkan pada US$5,130.1 setiap auns troy mengikut penetapan London Bullion Market Association pada 12 Mac, 2026.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan