Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Dagangan niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka kekal positif minggu depan, sejajar dengan harga minyak mentah yang lebih kukuh didorong oleh ketidakpastian yang ditimbulkan oleh konflik Asia Barat yang berlanjutan.
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata konflik itu telah menjejaskan pasaran minyak mentah, sekali gus meningkatkan pasaran minyak sayuran, terutamanya minyak sawit dari segi pengeluaran biodiesel.
“Oleh itu, kami menjangkakan harga dalam lingkungan antara RM4,450 dan RM4,680 setan minggu depan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies, Jim Teh, berkata perang Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran telah mencetuskan aktiviti spekulasi dalam pasaran, sekali gus meningkatkan harga MSS dengan ketara.
Beliau menjangkakan aktiviti pengambilan untung akan berlaku minggu depan, dengan harga berkemungkinan antara RM4,100 dan RM4,200 setan.
“Penghantaran ke Asia Barat telah terjejas berikutan konflik berterusan. Dari segi bekalan, Malaysia dan Indonesia mempunyai bekalan yang mencukupi, manakala permintaan daripada negara-negara di Asia Barat dijangka kekal terhad.
“Permintaan fizikal akan datang terutamanya dari China, Pakistan, India dan Kesatuan Eropah serta Amerika Syarikat,” kata Teh.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak Mac 2026 melonjak RM275 kepada RM4,525 setan, April 2026 meningkat RM203 kepada RM4,539 setan, dan Mei 2026 meningkat RM205 kepada RM4,572 setan.
Kontrak Jun 2026 meningkat RM297 kepada RM4,572 setan, Julai 2026 menambah RM189 kepada RM4,554 setan, dan Ogos 2026 meningkat RM176 kepada RM4,523 setan.
Jumlah dagangan minggu berkembang kepada 732,935 lot daripada 542,086 lot minggu lepas, manakala kepentingan terbuka meningkat sedikit kepada 225,355 kontrak pada Jumaat berbanding 224,475 seminggu sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi Mac Selatan meningkat RM340 kepada RM4,500 setan.
-- BERNAMA
