Oleh Wong Chun Wai
KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Malaysia sememangnya layak mendapat sesuatu yang lebih baik daripada retorik perkauman dan agama yang ditiupkan oleh beberapa pihak yang menggunakan media sosial sebagai platform mereka.
Kaum dan agama sejak sekian lama menjadi unsur paling mudah meletus dalam politik – mudah menyala, sukar untuk dipadamkan, dan boleh membawa kesan buruk apabila dijadikan sebagai senjata.
Kini, kita melihat tanda-tanda membimbangkan bahawa garis pemisah ini sekali lagi dieksploitasi, bukan sebagai luahan kebimbangan sebenar, tetapi sebagai alat yang dirancang untuk memburukkan imej Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan beliau.
Naratif ini menjadi semakin lantang dan lebih kerap berlaku sebagai sebahagian daripada kempen menjelang pilihan raya umum yang menyasarkan kerajaan.
Kontroversi berkaitan kuil Hindu yang tidak berdaftar menggambarkan bagaimana satu isu boleh diputarbelitkan menjadi dua naratif yang bertentangan – kedua-duanya bertujuan membangkitkan emosi dan menghakis keyakinan terhadap pentadbiran kerajaan.
Pada satu pihak, muncul kempen yang menggambarkan Anwar sebagai lemah dalam mempertahankan kepentingan Melayu–Islam, manakala bukan Muslim melihat beliau tidak mengambil tindakan terhadap golongan mualaf yang berulang kali mencetuskan provokasi
Naratif terhadap beliau adalah mudah, tetapi berbahaya – Kerajaan MADANI, khususnya Pakatan Harapan, perlu digantikan pada pilihan raya umum akan datang.
Hantaran media sosial, retorik dalam ceramah dan laporan terpilih menunjukkan seolah-olah kerajaan berusaha sedaya upaya untuk memuaskan hati golongan minoriti sambil mengabaikan sensitiviti majoriti Muslim.
Rancangan permainan menentang beliau adalah dengan menggambarkan bahawa Islam sedang terancam, orang Melayu semakin hilang kedudukan, dan kerajaan tidak boleh dipercayai untuk melindungi mereka.
Bahasa yang digunakan oleh beberapa tokoh berprofil tinggi adalah kasar, bersifat menghasut dan penuh emosi.
Komen terhadap hantaran ini pula lebih teruk kerana bersifat hasutan dan bersembunyi di sebalik akaun tanpa identiti.
Jika sebelum ini perkataan seperti "pendatang" digunakan, kini media sosial dipenuhi dengan kata-kata hinaan seperti "kicap".
Pada pihak lain, komuniti Hindu yang difahami tertekan dengan kejadian kumpulan tertentu yang merobohkan atau mengancam kuil-kuil kecil, didorong untuk mempercayai bahawa kerajaan tidak mempedulikan kebimbangan mereka, malah lebih buruk lagi, bersubahat melalui sikap tidak bertindak.
Imej rumah ibadat yang dimusnahkan tersebar luas, sekali gus mencetuskan kemarahan dan kebimbangan bahawa hak minoriti dipijak.
Mereka menuntut penjelasan mengapa kumpulan ini dibenarkan untuk merobohkan rumah ibadat walaupun tidak berdaftar. Bukankah sepatutnya perkara itu menjadi tanggungjawab pihak berkuasa tempatan dan polis?
Hasilnya ialah tekanan berbahaya daripada dua pihak – orang Melayu diberitahu bahawa kerajaan terlalu berlembut dengan minoriti, manakala minoriti pula diberitahu bahawa kerajaan terlalu tegas terhadap mereka.
Kedua-dua naratif ini tidak mungkin benar pada masa yang sama, namun kedua-duanya mendapat perhatian kerana menyentuh kepada rasa tidak selamat yang telah lama berakar umbi.
Sukar untuk menjelaskan atau merasionalkan kepada orang ramai, tanpa mengira agama mereka, mengapa tiada sesiapa yang boleh mendirikan rumah ibadat sesuka hati tanpa permit atau di atas tanah milik orang lain. Perkara itu jelas menyalahi undang-undang.
Bagaimanapun, tiada sesiapa yang boleh merobohkan rumah ibadat dengan andaian bahawa pihak berkuasa tempatan tidak bertindak atau kerana kos untuk mendapatkan perintah mahkamah terlalu tinggi, maka mereka perlu melakukannya sendiri.
Tindakan yang membimbangkan ini bukanlah berlaku secara kebetulan, tetapi mencerminkan strategi politik yang sofistikated – untuk mewujudkan persepsi kegagalan tanpa mengira apa sahaja tindakan yang diambil kerajaan.
Sekiranya pihak berkuasa bertindak terhadap struktur haram, mereka dituduh menyasarkan minoriti. Jika mereka teragak-agak, mereka pula dituduh mengkhianati majoriti.
Yang menjadikan keadaan sangat tidak menentu ialah penglibatan pihak bukan kerajaan – kumpulan atau individu yang mendakwa mempertahankan agama, tetapi beroperasi di luar undang-undang.
Perkara terakhir yang kita mahukan ialah polis berdepan dengan kecaman yang dirancang, kononnya mereka lambat bertindak terhadap pelaku ini.
Tindakan mereka ini mewujudkan titik pergolakan yang memaksa kerajaan bertindak balas. Setiap perobohan, konfrontasi atau video tular menjadi peluru politik.
Tiada penyelesaian segera bagi isu kuil tidak berdaftar. Rangka kerja undang-undang Malaysia berkaitan rumah ibadat adalah rumit dan selalunya kurang difahami.
Banyak kuil kecil, khususnya di kawasan bandar, dibina beberapa dekad yang lepas di atas tanah yang sejak itu telah bertukar status pemilikan atau pengezonan.
Menyelesaikan isu seperti ini memerlukan rundingan, pelan pemindahan dan kepekaan – bukannya tindakan keras, sama ada secara literal mahupun retorik.
Mesej tentang pembaharuan, keterangkuman dan tadbir urus berbilang kaum yang telah lama disampaikan Anwar menjadikan beliau sangat terdedah kepada serangan seperti ini.
Beliau ialah Perdana Menteri daripada parti berbilang kaum yang mengetuai Kerajaan Perpaduan dan baru memegang tampuk pemerintahan selama tiga tahun.
Namun, satu "badai" besar sedang terbentuk menjelang pilihan raya untuk memastikan PKR terpaksa menyerahkan tampuk pemerintahan itu kepada parti berasaskan kaum atau agama.
Bagi golongan tegar, kesederhanaan dianggap sebagai mencurigakan. Bagi golongan sinis, perpaduan dianggap naif. Dan mereka yang hidup dengan perpecahan, keharmonian ialah sesuatu yang merugikan.
Namun, rakyat Malaysia perlu bertanya satu soalan penting: Siapa yang mendapat manfaat daripada ketidakpercayaan yang meningkat antara komuniti?
Sudah tentu bukan rakyat biasa yang perlu hidup, bekerja dan membesarkan keluarga bersama. Bukan juga perniagaan, pelabur atau orang muda yang mengharapkan masa depan yang stabil.
Pihak yang mendapat keuntungan ialah mereka yang memperoleh manfaat politik daripada kekacauan – mereka yang lebih mudah meraih sokongan dengan menimbulkan ketakutan berbanding menawarkan penyelesaian.
Ujian sebenar bukanlah sama ada satu komuniti "menang" mengatasi yang lain, tetapi sama ada kedaulatan undang-undang mengatasi tindakan perusuh, dan sama ada pemimpin politik enggan mengeksploitasi perpecahan untuk keuntungan jangka pendek.
Kekuatan Malaysia selama ini terletak pada keupayaan untuk mengurus kepelbagaian melalui rundingan, bukannya konfrontasi.
Membenarkan pemprovokasi – sama ada politik atau sebaliknya – untuk menentukan perbincangan nasional berisiko meruntuhkan keseimbangan yang dibina dengan teliti selama beberapa dekad.
Bahaya pada hari ini bukan sekadar kerajaan Anwar mungkin kelihatan buruk. Lebih membimbangkan ialah negara sendiri mungkin kelihatan berpecah belah, tidak bertoleransi dan sentiasa berada dalam keadaan tegang – naratif yang jauh lebih merosakkan daripada sebarang kemunduran politik.
Kini, bukan masanya untuk lebih banyak perpecahan kaum dan agama yang direka, sebaliknya masa untuk kita bersatu menghadapi cabaran lebih besar – peperangan di Asia Barat dan kesannya yang meluas terhadap kos sara hidup rakyat Malaysia.
-- BERNAMA
Datuk Seri Wong Chun Wai ialah Pengerusi Bernama dan Tokoh Wartawan Negara
