AM

PENGURUSAN SISA ELEKTRONIK PERLU DIPERKASA, ELAK PENCEMARAN

15/03/2026 10:28 AM

Oleh Siti Fauziah Hasan

SEREMBAN, 15 Mac (Bernama) -- Peningkatan penggunaan peralatan elektronik seperti telefon pintar, komputer riba dan perkakas elektrik rumah menjadikan sisa elektronik atau e-waste antara cabaran pengurusan yang semakin mendapat perhatian di seluruh dunia.

Tanpa pengurusan sistematik, sisa peralatan elektrik dan elektronik yang mengandungi pelbagai bahan kimia serta logam berat berpotensi mencemarkan alam sekitar selain memberi kesan kepada kesihatan dalam jangka panjang.

Di Malaysia, kesedaran mengenai pengurusan e-waste diperkukuh melalui pelbagai dasar dan program pendidikan awam namun pakar menegaskan penglibatan masyarakat amat penting bagi memastikan ia dilupuskan secara selamat.

Meskipun jumlah sisa elektronik di Negeri Sembilan tidak menunjukkan peningkatan ketara beberapa tahun kebelakangan ini, orang ramai diingatkan supaya berwaspada terhadap kesannya kepada kesihatan dan alam sekitar jika ia tidak diuruskan dengan baik.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Profesor Dr Mohd Ikmar Nizam Mohamad Isa berkata e-waste mengandungi logam berat seperti plumbum, merkuri, kadmium dan bahan kimia berbahaya seperti kalis api berbromin atau brominated flame retardants yang boleh menjejaskan tanah, air serta manusia jika dilupuskan tanpa kawalan.

“Logam berat akan terkumpul dan mengubah struktur kimia tanah sehingga menurunkan kesuburan serta menjejaskan mikroorganisma tanah... proses pengurasan atau leaching menyebabkan bahan toksik meresap ke dalam air bawah tanah dan sistem sungai.

“Pendedahan kronik kepada bahan toksik ini juga boleh menyebabkan gangguan neurologi, kerosakan buah pinggang, masalah perkembangan kanak-kanak dan meningkatkan risiko kanser... namun, kesan ini bersifat jangka panjang dan kumulatif... bukan serta-merta,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata plumbum pula boleh menjejaskan sistem saraf dan terkumpul dalam tumbuhan sebelum memasuki rantaian makanan manakala merkuri boleh bertukar kepada metilmerkuri dalam air iaitu bentuk sangat toksik yang mudah memasuki rantaian makanan akuatik.

Pensyarah fizik yang berkepakaran dalam bidang bahan semikonduktor, bioplastik dan bahan termaju itu berkata pembakaran terbuka e-waste pula boleh menghasilkan bahan toksik seperti dioksina, furan, gas berasid dan partikel halus yang berisiko menyebabkan penyakit pernafasan selain gangguan sistem imun.

Beliau berkata golongan paling terdedah kepada kesan e-waste termasuk pekerja sektor kitar semula tidak formal, kanak-kanak dan wanita hamil serta penduduk berhampiran tapak pelupusan.

Mohd Ikmar Nizam berkata sekiranya tidak ditangani dengan baik, ia boleh meningkatkan risiko pencemaran kerana Negeri Sembilan mempunyai kawasan industri, tapak pelupusan serta sumber air seperti sungai dan empangan.

“Jika e-waste diproses secara tidak formal, pencemaran air bawah tanah akan meningkat sekali gus menjejaskan pertanian dan bekalan air domestik selain beban kesihatan awam juga bertambah,” katanya sambil menambah pencemaran logam berat biasanya sukar dipulihkan dan kos pemulihan sangat tinggi.

Kerajaan sebelum ini mengharamkan sepenuhnya pengimportan sisa elektronik berkuat kuasa 4 Feb lepas, dan akan diklasifikasi di bawah kategori Larangan Mutlak dalam Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan Abdul Aziz Parmin pula berkata sebanyak 11.1 tan e-waste isi rumah direkodkan pada 2024, menyaksikan penurunan kepada 9.6 tan pada tahun lepas manakala 27 kilogram dikumpulkan setakat Februari lepas, dengan telefon bimbit antara peralatan elektronik yang paling banyak dilupuskan.

Beliau berkata berdasarkan rekod, tiada peningkatan ketara jumlah e-waste dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, dan usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terus dipergiat melalui pelbagai program komunikasi, pendidikan serta kesedaran awam.

“Penting untuk masyarakat menguruskan sisa itu secara mampan dengan cara mengasingkan e-waste dan tidak dibuang sebarangan bersama-sama sisa sampah domestik... ia hendaklah dihantar ke pusat pengumpulan yang didaftarkan,” katanya.

Abdul Aziz juga berkata sepanjang tahun lepas hingga kini, JAS tidak menerima sebarang aduan berhubung kes pelupusan haram melibatkan e-waste namun terdapat tindakan penguatkuasaan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terhadap dua kilang haram di Senawang dan Nilai yang menjalankan aktiviti memproses sisa elektronik.

-- BERNAMA
 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan