DUNIA

PEMIMPIN AGUNG IRAN DALAM KEADAAN SIHAT, TADBIR NEGARA SEPENUHNYA – MENTERI LUAR

15/03/2026 09:47 PM

ISTANBUL, 15 Mac (Bernama-Anadolu) -- Menteri Luar Iran Abbas Araghchi memaklumkan pada Ahad bahawa Pemimpin Agung Iran, Mojtaba Khamenei berada dalam "keadaan sihat dan terus mentadbir negara sepenuhnya" ketika ketegangan antara Tehran dan Washington terus memuncak di rantau itu, lapor Anadolu Ajansi.

"Situasi di Iran adalah stabil dan semua pihak sedang menjalankan tugas masing-masing di posisi masing-masing," kata Araghchi dalam satu temu bual bersama akhbar The New Arab (Al-Araby Al-Jadeed) yang berpangkalan di London.

Pemimpin tertinggi itu "berada dalam keadaan sihat dan menguruskan negara dengan sepenuhnya," kata beliau.

Araghchi berkata Tehran bersedia untuk duduk berbincang dengan negara-negara serantau bagi membentuk jawatankuasa penyiasatan bersama bagi menentukan sifat sasaran yang diserang dan sama ada ia mempunyai kaitan dengan Amerika Syarikat (AS).

Beliau menegaskan bahawa serangan yang dilakukan oleh Iran menyasarkan "pangkalan dan kepentingan Amerika Syarikat di rantau itu" sebagai sebahagian daripada tindak balas Tehran terhadap serangan yang dilancarkan ke atas Iran dari pangkalan berkenaan.

Menteri itu berkata Tehran telah memperoleh maklumat yang menunjukkan bahawa AS dan Israel melancarkan serangan dari lokasi tertentu ke arah negara-negara Arab.

"Kami tidak menyasarkan mana-mana kawasan awam atau kediaman di negara-negara serantau setakat ini," katanya lagi.

Araghchi turut mengugut akan melakukan serangan balas terhadap syarikat-syarikat Amerika di rantau itu sekiranya kemudahan minyak Iran diserang.

"Jika kemudahan tenaga kami disasarkan, kami juga akan menyasarkan kemudahan syarikat Amerika di rantau ini," katanya.

Diplomat tertinggi itu mendakwa AS telah membangunkan dron yang serupa dengan dron Shahed milik Iran, dikenali sebagai "Lucas," yang menurutnya digunakan untuk menyerang sasaran di negara-negara Arab, sambil menyatakan bahawa maklumat itu masih dalam penelitian.

Araghchi berkata komunikasi dengan negara jiran terus berjalan, termasuk dengan Qatar, Arab Saudi dan Oman.

Hubungan diplomatik "tidak terhenti," katanya, sambil menyatakan bahawa beberapa negara serantau sedang menjalankan usaha pengantaraan yang bertujuan mengurangkan ketegangan dan mencadangkan idea untuk menamatkan peperangan.

Iran bersedia untuk mempertimbangkan sebarang cadangan yang dapat menjamin "penamatan perang sepenuhnya," katanya.

Araghchi juga berkata Selat Hormuz, yang merupakan laluan transit utama bagi kapal tangki minyak, "kekal dibuka kepada semua negara kecuali Amerika Syarikat dan sekutunya."

Ketegangan semakin meruncing sejak 28 Feb apabila Israel dan AS melancarkan serangan bersama ke atas Iran, yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang termasuk Pemimpin Agung ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei.

Iran telah membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq, dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan