KOTA BHARU, 16 Mac (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan menahan 17 pengemis dalam Operasi Bersepadu Ramadan di beberapa lokasi tumpuan orang ramai di sekitar bandar raya ini dan Kubang Kerian hari ini.
Pengarah JKM Kelantan Che Samsuzuki Che Noh berkata operasi bermula 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen serta Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).
Beliau berkata antara lokasi terbabit ialah sekitar Pasar Siti Khadijah, Bazar Buluh Kubu, Masjid Muhammadi serta bank.
“Kesemua ditahan membabitkan tujuh lelaki warga asing dan 10 rakyat tempatan. Rakyat tempatan itu terdiri daripada sembilan lelaki dan seorang wanita,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Che Samsuzuki berkata kesemua individu terbabit dibawa ke pejabat JKM untuk siasatan lanjut termasuk tindakan bersesuaian mengikut Akta Orang-Orang Papa 1977.
-- BERNAMA
