AM

SULTAN PAHANG, KERABAT DIRAJA BERKENAN BERBUKA PUASA BERSAMA RAKYAT

16/03/2026 10:55 PM

KUANTAN, 16 Mac (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan kerabat diraja berkenan berbuka puasa bersama rakyat di Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (MBK1), di sini hari ini. 

Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan paduka anakanda baginda termasuk Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. 

Kesultanan Pahang menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan, Al-Sultan Abdullah turut berkenan menyantuni peniaga dan orang ramai yang berada di bazar Ramadan Mahkota Square yang terletak bersebelahan padang itu serta membeli juadah berbuka.

“Aktiviti berbuka puasa di padang bersama rakyat pada saban tahun adalah antara acara yang digemari baginda kerana ia menjadi ruang dan peluang untuk menyantuni rakyat,” menurut hantaran itu. 

Orang ramai juga dilihat tidak melepaskan peluang bergambar kenangan bersama baginda. 

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan