AM

MALAYSIA GESA PINTU MASJID AL-AQSA DIBUKA SEGERA - PM ANWAR

17/03/2026 03:56 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Malaysia menggesa agar pintu Masjid Al-Aqsa dibuka segera, sambil menyeru negara yang mempunyai pengaruh supaya tidak menyeluarkan kenyataan semata-mata sebaliknya mengambil tindakan tegas bagi memastikan umat Islam dapat menunaikan ibadah sempena Aidilfitri.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Israel masih menutup pintu masjid itu, sekali gus menafikan hak umat Islam untuk beribadah di tapak ketiga paling suci dalam Islam pada penghujung Ramadan serta menjelang Aidilfitri.

“Tindakan Israel tidak berlandaskan sebarang asas sah dari segi undang-undang, moral mahupun dalam apa-apa pengertian sebenar terhadap martabat insan. Penutupan berterusan Masjid Al-Aqsa tidak dapat diterima sama sekali dan jelas melanggar undang-undang antarabangsa. 

“Keadaan yang berterusan mencerminkan tahap kekebalan yang semakin meningkat dari semasa ke semasa,” kata beliau dalam hantaran di Facebook hari ini.

Anwar turut menzahirkan solidariti rakyat Malaysia kepada umat Islam Palestin yang menyambut Aidilfitri dalam situasi terkini.

“Buat umat Islam Palestin yang menyambut Aidilfitri dalam situasi ini: keimanan, kesabaran dan ketabahan anda dilihat. Anda tidak bersendirian. Rakyat Malaysia akan terus bersuara dan bertindak sedaya mampu,” kata Perdana Menteri.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan