JENAYAH & MAHKAMAH

PENYERTAAN DSA & NATSEC KEKAL KUKUH, 30 NEGARA SAHKAN PENYERTAAN

17/03/2026 05:39 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Masih awal untuk menilai impak perkembangan geopolitik semasa di Asia Barat terhadap penyertaan pempamer dan delegasi antarabangsa dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Negara (NatSec) Asia 2026.

Pengarah Eksekutif DSA Exhibition and Conference Sdn Bhd Nadzeem Abdul Rahman berkata ketika ini penyertaan daripada industri pertahanan antarabangsa kekal kukuh dengan pengesahan penyertaan pavilion daripada 30 negara serta pelbagai syarikat pertahanan tempatan dan antarabangsa.

“Penyertaan pavilion antarabangsa yang telah disahkan termasuk dari Turkiye, China, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Amerika Syarikat (AS), Itali, Perancis, Korea Selatan, India, Kazakhstan, Indonesia dan Singapura.

“Pihak penganjur terus bekerjasama rapat dengan semua pempamer dan delegasi bagi memudah cara penyertaan mereka serta memastikan kelancaran perancangan pameran,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata antara syarikat pertahanan utama yang telah mengesahkan penyertaan ialah DEFTECH, ASELSAN, Turkish Aerospace Industries Inc., MILKOR, FNSS Savunma Sistemleri, Team Defence Australia, Airbus Group, BrahMos, Beretta Defense Technologies (BDT), Weststar Defence Industries dan MBDA.

Turut mengesahkan penyertaan ialah syarikat Mindmatics, Hyundai WIA Corp., Kongsberg, ATLA Japan MOD, LIG Nex1, Glenair Inc., Fincantieri, Nurol Makina, HAVELSAN, CANiK Arms, FN Herstal dan Naval Group.

Dalam pada itu, Nadzeem berkata sasaran untuk menarik kehadiran 50,000 pelawat dan 500 delegasi VVIP dari 70 negara masih dikekalkan dengan persiapan pameran berjalan mengikut perancangan.

Sebagai penganjur, pihaknya optimis dan yakin dalam mengurus situasi dinamik serta tidak menentu berdasarkan pengalaman hampir empat dekad mengendalikan acara berkenaan.

“Kami juga telah melalui pelbagai cabaran global sebelum ini termasuk ketika pandemik COVID-19, dengan DSA dan NatSec tetap berjaya dilaksanakan dan menerima kehadiran pelawat serta penyertaan industri yang memberangsangkan.

“Malah pihak kami terus mempergiat dan mempertingkatkan promosi untuk memastikan sasaran dapat dicapai,” katanya.

DSA dan NatSec Asia 2026 dijadualkan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada 20 hingga 23 April ini.

Konflik di Asia Barat meruncing sejak 28 Feb lepas selepas Israel dan AS melancarkan serangan terhadap Iran, yang kemudiannya dibalas Tehran melalui serangan peluru berpandu serta dron terhadap kepentingan AS dan sekutunya di rantau itu.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan