JENAYAH & MAHKAMAH

HRA 2026: JPJ PULAU PINANG PERHEBAT PROGRAM ADVOKASI, TUMPU LOKASI KERAP KEMALANGAN

18/03/2026 09:58 AM

BATU KAWAN, 18 Mac (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang memperhebat program advokasi sepanjang pelaksanaan Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2026 selaras dengan sasaran untuk menurunkan kadar kemalangan sebanyak 10 peratus sempena musim perayaan.

Pengarah JPJ negeri Zulkifly Ismail berkata program advokasi secara bersemuka dengan pemandu diperbanyak bagi meningkatkan persepsi kemungkinan akan ditahan (POBC) sekiranya melakukan kesalahan.

“Apabila kita (pihak JPJ) sentiasa berada di lapangan dan berinteraksi dengan pengguna jalan raya, mereka akan lebih dekat dengan JPJ dan berhati-hati ketika memandu sekali gus meningkatkan tahap persepsi itu.

“Sasaran kita adalah untuk meningkatkan kadar POBC kepada 75 peratus sepanjang Ops HRA 2026,” katanya kepada pemberita pada Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Singgah Sahur Bersama Anggota Penguatkuasa JPJ Pulau Pinang di Plaza Tol Bukit Tambun di sini malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Tambun Goh Choon Aik.

Zulkifly berkata tumpuan turut diberikan kepada kawasan kerap berlaku kemalangan menerusi rondaan di titik penguatkuasaan (POD) sepanjang laluan yang dikenal pasti sebagai kawasan hotspot

Beliau berkata lapan kawasan dikenal pasti kerap berlaku kemalangan iaitu Jalan Teluk Air Tawar ke Jalan Bagan Luar dan Lebuhraya Utara Selatan di Seberang Perai Utara (SPU), Jalan Perusahaan Perai di Seberang Perai Tengah (SPT), Jalan Besar Simpang Ampat di Seberang Perai Selatan (SPS), Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan Jalan Paya Terubong (Timur Laut) serta Jalan Tun Dr Awang dan Jalan Sultan Azlan Shah di Barat Daya.

“Sebanyak 245 anggota ditugaskan pada Ops HRA 2026 dengan bergerak secara bergilir dari satu titik ke titik lain untuk memperlihat keberadaan JPJ di sepanjang laluan hotspot tersebut,” katanya.

Zulkifly berkata Ops HRA 2026 bermula dari 13 hingga 29 Mac, dengan tempoh praoperasi dari 13 hingga 15 Mac yang memberi tumpuan kepada pemeriksaan bas di depot, manakala penguatkuasaan penuh dilaksanakan dari 16 hingga 29 Mac.

Beliau berkata pihaknya turut menyasarkan pemeriksaan awal terhadap 100 peratus bas ekspres bagi memastikan semua kenderaan berada dalam keadaan selamat sebelum digunakan oleh penumpang untuk pulang ke kampung halaman.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan