Oleh Mohd Fakri Awang Lah
ALOR GAJAH, 18 Mac (Bernama) -- Walaupun baru berusia enam bulan, Bengkel Pembangunan dan Pengeluaran Produk Kraf Batik Terap Komuniti Felda Hutan Percha di sini, semakin mendapat perhatian peminat batik tanah air menerusi motif roda kereta lembu dan bunga kesidang yang menghiasi hasil krafnya.
Pengurus bengkel Sapinah Sagap, 42, berkata mereka bermula daripada kursus intensif tiga hari dikendalikan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) cawangan Melaka pada Ogos tahun lepas.
Beliau berkata PKKM Melaka bukan sekadar memberi bimbingan, tetapi turut menyumbangkan identiti menerusi blok bermotif roda kereta lembu dan bunga kesidang yang sinonim dengan Melaka sekali gus menonjolkan ciri khas batik terap kawasan Felda Hutan Percha.
Tidak berakhir setakat itu, PKKM juga membekalkan peralatan penting seperti kain dan pewarna untuk dijadikan modal permulaan perniagaan.
“Daripada 30 peserta kursus fasa satu, hanya 11 yang benar-benar berminat menjalankan perniagaan ini. Kami sepakat menambah modal RM130 seorang sebagai yuran komitmen dengan keuntungan diagihkan setiap enam bulan sekali,” katanya kepada Bernama.
Menurut Sapinah setakat ini, bengkel kreatif itu menghasilkan pelbagai jenis pakaian batik termasuk baju Melayu, blaus, cardigan, baju kurung, pakaian kanak-kanak dan kemeja-T selain aksesori seperti gelang tangan, sepit dan getah rambut, kipas, lanyard serta kerongsang bagi memenuhi cita rasa pelanggan.
“Pakaian dijual dengan harga dari RM60 hingga RM280 bergantung kepada rekaan dan jenis kain seperti cotton poplin, mercerized, viscose, satin dan tencel satin,” katanya.
Beliau berkata mereka juga tidak menang tangan menyiapkan pelbagai barangan berasaskan batik bagi memenuhi lonjakan permintaan pelbagai pihak.
“Kami juga menerima dua jemputan pihak hotel untuk membuka reruai di premis di Ayer Keroh dan Banda Hilir selain beberapa kawasan pelancongan di sekitar Melaka.
“Selain itu, kami juga menerima jemputan menyertai karnival kraf tangan sejak Disember tahun lepas di Johor dan Kuala Lumpur walaupun baru belajar membuat batik terap,” katanya.
Guru Besar Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Gadek Normah Ahmad, 60, berkata menyertai bengkel itu sebagai persediaan untuk memanfaatkan masa lapang kerana akan bersara pada hujung tahun ini.
“Kebiasaannya saya bertugas pada waktu petang jadi akan manfaatkan sebelah pagi untuk menyiapkan tempahan batik di bengkel dengan rakan-rakan.
“Anak-anak sudah besar dan berumah tangga, jadi saya dan suami, Hamdan baba, 60, sepakat menyertai bengkel batik untuk mengisi masa lapang,” katanya.
-- BERNAMA
