JOHOR BAHRU, 18 Mac (Bernama) -- Orang ramai dilihat membuat persiapan Aidilfitri secara sederhana, seiring langkah kerajaan yang mula mengamalkan perbelanjaan berhemat susulan ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik di Asia Barat.
Tinjauan di beberapa daerah di Johor, termasuk Johor Bahru, Batu Pahat dan Mersing mendapati orang ramai mengelakkan pembaziran dengan membeli barang keperluan asas sewajarnya selain pakaian pada harga mampu milik.
Juruwang sebuah restoran di Skudai, Misnah Mohammad, 60 berkata barangan kelengkapan termasuk bahan mentah dibeli lebih awal dan tidak secara berlebihan.
"Harga barang keperluan saya tengok tiada peningkatan, tetapi saya beli ala kadar dan lebih awal takut raya mengejut pula," katanya.
Sementara itu di Mersing, kontraktor muda Nurfatimah Ibrahim, 37, berkata dia sekeluarga memilih pendekatan sederhana dalam membuat persiapan raya tahun ini dengan membuat hiasan rumah dengan sendiri tanpa menukar perabit atau mengecat semula kediaman.
“Saya ada beli langsir tapi pada harga mampu milik di TikTok. Baju raya pun hanya dua pasang berbanding sebelum ini, malah kuih raya pun banyak saya buat sendiri,” kata ibu kepada tiga anak itu.
Di Batu Pahat, pekerja swasta Muhammad Ridhuan Tew Abdullah, 45, berkata dia sekeluarga turut menggunakan semula baju raya dan menghias rumah dengan langsir ketika sambutan Aidilfitri tahun lepas.
“Sambut hari raya tidak semuanya perlu beli baharu, kami sekeluarga setiap seorang hanya beli sepasang sahaja. Pakaian tahun lepas pun masih lagi elok, begitu juga dengan langsir dan sebagainya,” katanya.
Wahyu Hidayat Hamdan, 44, pula memanfaatkan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) dan Program Jualan Kasih Johor yang menawarkan harga lebih rendah berbanding pasaran biasa.
"Barang keperluan untuk sediakan juadah raya seperti ketupat, rendang dan beberapa kuih raya dibeli dalam kuantiti secukupnya," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata semua kementerian, agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak akan menganjurkan majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri tahun ini, sebagai langkah berjimat cermat susulan ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik di Asia Barat.
Beliau berkata berkata keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri itu bertujuan memberi mesej jelas bahawa kerajaan komited mengambil pendekatan lebih sederhana dan berhemat dalam perbelanjaan.
-- BERNAMA
