POLITIK

WANITA KEADILAN SOKONG USAHA KERAJAAN MADANI KEMBALIKAN HASIL NEGARA KEPADA RAKYAT

18/03/2026 06:44 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Wanita KEADILAN menyifatkan langkah Kerajaan MADANI mengembalikan hasil negara melalui pelbagai inisiatif kepada rakyat sebagai bukti jelas keupayaan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengurus ekonomi secara beramanah dan berkesan.

Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Datuk Ginie Lim berkata pelaksanaan pelbagai inisiatif bersasar khususnya menjelang Aidilfitri menunjukkan kerajaan tidak hanya berjanji sebaliknya konsisten melaksanakan dasar yang memberi kesan langsung kepada rakyat.

Beliau berkata langkah seperti pemberian diskaun tol 50 peratus sempena Aidilfitri, pelepasan kebankrapan secara Fast Track melibatkan lebih 4,000 individu dan subsidi berterusan RON95 membuktikan kerajaan memahami situasi rakyat dalam mendepani kos sara hidup.

“Aidilfitri bukan sekadar perayaan tetapi tentang keluarga, pengorbanan dan harapan… dalam keadaan rakyat berdepan kos sara hidup, Wanita KEADILAN menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutamakan rakyat, bukan kepentingan segelintir,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ginie berkata kepimpinan berintegriti bukan sahaja diukur melalui apa yang diberikan tetapi juga melalui kesanggupan kerajaan mengurangkan pembaziran termasuk penganjuran program sambutan yang berlebihan kerana setiap sen adalah amanah rakyat.

Beliau berkata tadbir urus berhemat dan beramanah membolehkan hasil negara disalurkan semula kepada rakyat secara lebih berkesan sekali gus memastikan manfaatnya dirasai secara menyeluruh.

“Ini bukan sekadar pentadbiran tetapi satu perjuangan untuk memastikan hasil negara kembali kepada rakyat serta membina Malaysia yang lebih adil dan berperikemanusiaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan