Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini ketika pasaran menunggu keputusan daripada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat berserta dengan penurunan di pasaran emas Bursa Komoditi New York (COMEX).
Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata sentimen pasaran kekal berpandukan isyarat inflasi kerana ia terus menjejaki pergerakan harga minyak mentah untuk mendapatkan panduan.
“Cabarannya adalah fungsi tindak balas Rizab Persekutuan (Fed) masih sukar untuk ditentukan di sini menyebabkan emas tersekat dalam corak menunggu antara kebimbangan inflasi dan ketidaktentuan dasar,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Mac 2026 turun sedikit kepada US$5,003.50 setiap auns troy daripada US$5,026.90 pada Selasa, April 2026 menyusut kepada US$5,022.90 setiap auns troy daripada US$5,046.30 semalam manakala Mei 2026 merosot kepada US$5,044.20 setiap auns troy daripada US$5,067.60 sebelumnya.
Kontrak Jun, Ogos dan September 2026 juga ditutup lebih rendah pada US$5,078.10 setiap auns troy daripada US$5,101.50 pada Selasa.
Jumlah dagangan menurun kepada sembilan lot daripada 35 lot pada Selasa manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 62 kontrak daripada 105 kontrak sebelumnya.
Emas fizikal ditetapkan pada US$5,016.80 setiap auns troy mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 17 Mac, 2026.
-- BERNAMA
