DUNIA

BURSA MALAYSIA DIBUKA RENDAH, AMBIL PETUNJUK KELEMAHAN DI WALL STREET

19/03/2026 11:37 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka lebih rendah pada Khamis menjejaki kelemahan semalaman di Wall Street.

Sentimen terjejas oleh indeks harga pengeluar Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi daripada jangkaan, meningkat 0.7 peratus berbanding unjuran konsensus sebanyak 0.3 peratus, manakala Rizab Persekutuan (Fed) AS mengekalkan kadar faedah, kata seorang peniaga.

Pada 9.11 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.73 mata atau 0.45 peratus kepada 1,722.08 daripada penutupan Rabu pada 1,729.81.

Indeks utama dibuka 6.52 mata rendah pada 1,723.29.

Secara keseluruhan, pasaran adalah negatif apabila kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 338 berbanding 116, manakala 251 kaunter tidak berubah, 2,061 tidak diniagakan dan 1 yang lain digantung.

Jumlah dagangan pada 243.98 juta unit bernilai RM185.11 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata hasil Perbendaharaan 10 tahun AS meningkat sedikit kepada 4.265 peratus.

“Di Hong Kong, Indeks Hang Seng terus meningkat untuk ditutup melebihi 26,000 dalam persekitaran harga minyak mentah yang stabil, walaupun terdapat ketegangan berpanjangan di Asia Barat,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, Thong berkata walaupun FBM KLCI ditutup lebih tinggi semalam, ia kekal tidak menentu sama ada momentum pembelian akan berterusan menjelang cuti hujung minggu dan cuti umum Hari Raya Aidilfitri yang panjang.

“Bagaimanapun, untuk hari ini, kami menjangkakan indeks akan berlegar dalam julat 1,720–1,740. Jika dana asing terus menjadi pembeli bersih, kita mungkin melihat petunjuk kepada potensi kenaikan ketika cuti umum Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Ketika berita ini ditulis, minyak mentah Brent meningkat 3.18 peratus kepada AS$110.80 setong.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank dan IHH Healthcare merosot 10 sen masing-masing kepada RM11.64 dan RM9.29, Public Bank susut satu sen kepada RM4.92, CIMB berkurangan lima sen kepada RM7.90 dan Tenaga Nasional menguncup enam sen kepada RM14.18.

Bagi saham aktif, Sunway Healthcare naik tiga sen kepada RM1.88, Hengyuan Refining Company meningkat 11 sen kepada RM1.55, AirAsia X merosot enam sen kepada RM1.24, manakala TWL dan Astro Malaysia tidak berubah masing-masing pada 2.5 sen dan 7.5 sen.

Kaunter paling untung menyaksikan Petronas Chemicals melonjak 27 sen kepada RM5.17, Gas Malaysia menambah 16 sen kepada RM5.60, Hibiscus Petroleum dan Petronas Gas naik lapan sen masing-masing kepada RM2.20 dan RM18.00, manakala Petron Malaysia Refining & Marketing meningkat tujuh sen kepada RM4.70.

Kaunter paling rugi, Nestle berkurangan RM1.28 kepada RM99.62, United Plantations rendah 42 sen kepada RM33.56, Batu Kawan merosot 38 sen kepada RM19.50, Hong Leong Bank dan Malaysian Pacific Industries menguncup 20 sen masing-masing kepada RM23.00 dan RM30.00.

Di papan indeks pula, Indeks FBMT 100 merosot 59.49 mata kepada 12,401.69, Indeks FBM Emas menguncup 58.63 mata kepada 12,556.14,  Indeks FBM ACE kehilangan 38.27 mata kepada 4,411.51, Indeks FBM 70 berkurangan 99.78 mata kepada 17,180.59 dan Indeks FBM Emas Syariah turun 38.59 mata kepada 12, 248.42.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 129.30 mata kepada 20,763.72, Indeks Perladangan kehilangan 29.10 mata kepada 8,569.41.Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.74 mata kepada 181.32 dan Indeks Tenaga menambah 8.83 mata kepada 792.58.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan