KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Polis menemukan mayat seorang lelaki dalam keadaan terapung di Tasik Biru, Kuang dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat itu pada 8.03 pagi.
Beliau berkata mangsa yang berketinggian kira-kira 170 sentimeter dan berkulit cerah mempunyai tatu bertulis “Ship Floss” pada bahagian bahu kiri.
Mohd Hafiz berkata semasa ditemukan, mangsa memakai baju berwarna coklat gelap dengan tulisan “Suppligae”, berseluar jean biru serta memakai jam tangan jenama Seiko dengan tali berwarna hijau.
“Pemeriksaan lanjut mendapati tiada kesan suntikan Bacillus Calmette–Guerin (BCG) ditemukan pada lengan kiri si mati,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga dengan ciri-ciri itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat SM Rosli Mohd Nor di talian 013-609 5744 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA
