Oleh Nur Khalidah Abdul Halim
SHAH ALAM, 22 Mac (Bernama) -- Buku rekod kesihatan bayi dan kanak-kanak atau lebih dikenali sebagai "buku pink" bukan sekadar catatan biasa sebaliknya dokumen rasmi penting yang merekodkan sejarah kesihatan, jadual imunisasi serta perkembangan tumbesaran anak sejak lahir.
Buku ini menjadi rujukan utama setiap kali lawatan ke klinik atau hospital kerana di dalamnya terkandung pelbagai maklumat berkaitan kesihatan anak dan perlu disimpan dengan baik bagi memastikan rekod kesihatan dapat dipantau dalam jangka panjang.
Malah, rekod imunisasi dan maklumat kesihatan lengkap dalam buku itu turut diperlukan ketika pendaftaran anak ke Tahun Satu, menjadikan ia antara dokumen penting bagi memastikan kelancaran urusan persekolahan.
Namun, kesibukan mengurus rutin harian menyebabkan ada ibu bapa yang kurang menyedari kepentingan menjaga buku berkenaan sehingga ia menjadi rosak, lusuh atau hilang.
Berdasarkan pengalaman sendiri ketika mengandungkan anak kedua apabila "buku pink" miliknya cepat koyak dan lusuh, tercetus ilham kreatif buat Noor Eizie Eizyanie Mohamad Safuan, 38, atau lebih mesra dipanggil Ezy, untuk menghasilkan pembalut buku yang lebih praktikal serta menarik.
Melalui jenama Ezloveycraft, Ezy memperkenal pembalut buku berasaskan jahitan kraf tangan yang direka khas untuk melindungi dokumen rasmi khususnya "buku pink" yang kerap dibawa ke klinik atau hospital.
“Dengan adanya pembalut khas bersaiz A5 yang boleh ditambah nama dan mempunyai poket di bahagian dalam, ia bukan sahaja melindungi buku malah memudahkan penyimpanan kad janji temu dan dokumen tambahan berkaitan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pembalut itu juga direka sedikit longgar kerana buku rekod kesihatan akan semakin "kembang" apabila pelbagai maklumat dan dokumen baharu dimasukkan dari semasa ke semasa.
Dari segi rekaan, ibu kepada dua cahaya mata itu berkata setiap pembalut menggunakan fabrik kapas bercorak ceria dan moden, ditampal serta dijahit bersama dengan lapisan plastik pelindung agar kelihatan kemas dan cantik selain memastikan ia mudah ditanggalkan tanpa merosakkan kulit asal buku berkenaan.
Bagi menyiapkan satu pembalut buku, Noor Eizie Eizyanie berkata beliau mengambil masa kira-kira sejam bergantung kepada tempahan yang diterima melalui WhatsApp dan media sosial rasmi Ezloveycraft di TikTok serta Instagram.
Mengimbau kembali permulaan perniagaan sekitar 2014, suri rumah sepenuh masa itu berkata minat beliau dalam bidang jahitan diwarisi daripada ibunya yang sebelum ini mengambil tempahan secara kecil-kecilan di kampung halaman mereka di Jelebu, Negeri Sembilan.
Minat itu terus berkembang ketika Noor Eizie Eizyanie mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Perindustrian di Universiti Putra Malaysia apabila beliau mengambil tempahan menjahit bantal bercorak untuk menambah wang saku dan membantu keluarga.
“Selesai belajar, saya bekerja seperti biasa di sebuah syarikat swasta tetapi masih meneruskan perniagaan kraf tangan secara kecil-kecilan untuk mengumpul wang perkahwinan.
"Kini saya sudah mempunyai lebih lima produk hasil tangan sendiri, dan beroperasi sepenuhnya dari rumah di Tasik Biru Kundang, Rawang,” katanya.
Selain pembalut "buku pink" yang dijual pada harga serendah RM35, beliau turut menerima tempahan beg duit berbentuk angpau, pelindung pasport, pemegang kad pengenalan, pemegang kad, bekas tisu dan pembalut al-Quran dengan harga bermula daripada bawah RM20.
-- BERNAMA
