AM

LAT SARAN PENGGIAT SENI BERKARYA SECARA DISIPLIN, KEKALKAN IDENTITI TEMPATAN

22/03/2026 03:38 PM

IPOH, 22 Mac (Bernama) -- Bersempena dengan sambutan Hari Seniman hari ini, penggiat seni tempatan disaran agar terus berkarya secara berdisiplin dan tidak meminggirkan diri meskipun telah mencapai usia persaraan bagi memastikan industri seni kekal relevan.

Seniman Negara Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid atau Datuk Lat berkata kepuasan sebenar seorang seniman terletak pada usaha berkarya yang berterusan tanpa henti.

Beliau berkata walaupun seseorang seniman telah mencapai usia persaraan, keinginan untuk terus berkarya tidak seharusnya terhenti.

“Walaupun saya telah bersara, saya masih melukis dan kini sedang menyiapkan komik terbaharu. Kita perlu sentiasa mempunyai kerja… jika bukan di studio atau pejabat, biarlah di rumah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Lat berkata perhatian yang diberikan kerajaan terhadap industri kreatif ketika ini membolehkan rakyat terus menghargai dan menghayati karya seni dengan lebih mendalam berbanding sebelum ini.

“Sejak dahulu lagi kita menghargai golongan seniman, namun kini ada perhatian lebih daripada kerajaan bagi membolehkan rakyat menikmati dan menghayati karya seni tempatan,” katanya.

Mengenai kualiti karya, beliau menekankan kepentingan mengekalkan identiti tempatan dalam penghasilan seni agar mempunyai nilai estetika yang mampu bertahan dalam jangka masa panjang.

Lat berkata karya tokoh seperti Seniman Agung Negara Allahyarham Tan Sri P. Ramlee masih diminati sehingga kini kerana memiliki jati diri yang kukuh, berbanding karya yang sekadar meniru gaya Barat.

“Karya seni seperti muzik pop Melayu mempunyai identiti tersendiri dan sebab itu ia mampu bertahan. Jika kita hanya mengikut gaya Barat, karya kita akan mudah berubah dan dilupakan.

“Penggiat seni perlu terus berkarya dan mencari gaya sendiri, walaupun pada peringkat awal mungkin dipengaruhi karya orang lain sebelum berjaya mengekspresikan identiti sendiri,” katanya.

Hari Seniman disambut pada 22 Mac setiap tahun bersempena dengan ulang tahun kelahiran P. Ramlee dan lazimnya diraikan menerusi program berskala sederhana yang memberi tumpuan kepada mengenang jasa tokoh legenda seni tanah air itu selain menghimpunkan penggiat industri kreatif dalam acara apresiasi seni.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan