JENAYAH & MAHKAMAH

GERAI JUAL MERCUN, DUA KENDERAAN TERBAKAR

23/03/2026 10:22 PM

JOHOR BAHRU, 23 Mac (Bernama) -- Sebuah gerai menjual mercun dan bunga api musnah dalam kebakaran di Majidee Corner 1C, Jalan Bunga Ros, Kampung Dato Sulaiman Menteri, di sini malam ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin PBK I Nakish Nekmat berkata mereka menerima panggilan kecemasan pada 8.32 malam dan kebakaran juga melibatkan dua kenderaan. 

“Khemah pasang siap yang menjual mercun dan bunga api musnah 90 peratus manakala kereta Proton Gen-2 terbakar 80 peratus dan sebuah trak makanan 73 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Nakish berkata tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kebakaran itu.

Operasi yang melibatkan 11 anggota berjaya mengawal kebakaran pada 8.42 malam.

Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial menerusi rakaman sebuah video berdurasi 44 saat.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan