DUNIA

MALAYSIA, SINGAPURA KONGSI KEBIMBANGAN SERIUS SITUASI DI ASIA BARAT - PM ANWAR

25/03/2026 11:04 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Malaysia dan Singapura menzahirkan kebimbangan serius terhadap penutupan Selat Hormuz serta serangan ke atas infrastruktur kritikal susulan konflik yang semakin meruncing di Asia Barat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata kesepakatan berkenaan dicapai melalui perbualan telefon dengan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong bagi membincangkan perkembangan terkini konflik di Asia Barat, yang kesannya semakin meruncing dan menghimpit seluruh dunia, termasuk negara-negara di Asia Tenggara.

Beliau berkata penutupan Selat Hormuz serta serangan terhadap infrastruktur kritikal boleh menggugat kestabilan pasaran minyak dunia dan keselamatan tenaga serantau, khususnya di Asia Tenggara.

“Malaysia menyokong seruan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menuntut gencatan senjata segera dilaksanakan, di samping menggesa semua pihak kembali ke meja rundingan,” kata beliau.

Anwar berkata beliau dan Wong turut senada bahawa segala pertikaian harus diselesaikan melalui dialog dan saluran diplomatik.

“Malaysia bersedia menyokong sebarang usaha ke arah meredakan ketegangan serta memulihkan keamanan, keadilan dan kestabilan di Asia Barat,” kata Perdana Menteri.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan