Oleh Erma Idayu Mohd Yusof
GEORGE TOWN, 28 Mac (Bernama) -- Suasana hening yang sepatutnya menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak di sini, tercemar dengan pemandangan menyedihkan, terutama apabila lokasi itu menjadi tumpuan umat Islam menziarahi pusara insan tersayang ketika Aidilfitri.
Tapak perkuburan yang dipercayai antara tertua dan paling terkenal di utara Semenanjung itu bukan sekadar tempat persemadian, malah turut menyimpan nilai sejarah serta kenangan buat ribuan keluarga, namun kini dipenuhi dengan longgokan sampah yang ditinggalkan oleh segelintir pengunjung tidak bertanggungjawab.
Tinjauan Bernama mendapati ada botol plastik, sisa makanan dan sampah sarap di sudut tertentu di kawasan berkenaan, malah batu nisan lama turut dibuang sewenang-wenangnya, sekali gus menimbulkan rasa kecewa dan pilu dalam kalangan waris serta pengunjung yang hadir untuk menziarahi pusara, lebih-lebih lagi semasa musim perayaan.
Seorang waris, Abdul Rashid Ibrahim, 77, meluahkan rasa kesal terhadap situasi yang didakwanya berlarutan sejak bertahun-tahun tanpa penyelesaian tuntas.
"Masalah ini sudah bertahun-tahun, saya sendiri kerap datang … untuk ziarah kubur ibu bapa dan ahli keluarga di sini, tetapi setiap kali Aidilfitri masalah longgokan sampah akan timbul," katanya kepada Bernama hari ini.
Abdul Rashid yang tinggal di Jalan Makloom, di sini berkata keadaan longgokan sampah itu turut menimbulkan rasa kurang selesa, terutama kepada pengunjung yang pulang berhari raya di kampung halaman selain mencacatkan imej tanah perkuburan berkenaan.
Seorang pekerja pembersihan di kawasan itu yang enggan dikenali turut mengakui masalah lambakan sampah semakin ketara, khususnya ketika musim perayaan.
"Kami memang buat pembersihan, cuma apabila musim perayaan, kami tidak boleh nak kawal pengunjung yang datang dan ada dalam kalangan mereka buang sampah di kawasan tanah perkuburan," katanya.
Sementara itu, Pengurus Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Abu Mansur Maturidi Mohd Romli berkata hasil pemantauan mendapati punca utama masalah itu ialah sikap tidak bertanggungjawab pengunjung yang menziarahi kubur ketika musim perayaan seperti hari raya.
Beliau berkata perbuatan membuang pelbagai sisa termasuk bahan buangan dan batu nisan lama tanpa pengurusan sewajarnya oleh pengunjung telah menjejaskan kebersihan serta imej kawasan perkuburan yang merupakan tempat yang perlu dihormati.
"MAINPP memandang serius perkara yang dibangkitkan dan telah mengambil tindakan segera dengan melaksanakan kerja-kerja pembersihan di kawasan berkenaan semalam bagi memastikan persekitaran kembali bersih, teratur dan terpelihara," katanya.
Sehubungan dengan itu, Abu Mansur Maturidi berkata MAINPP menyeru semua pengunjung dan waris agar lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan kawasan perkuburan dengan tidak meninggalkan sebarang sampah, serta kerjasama semua pihak penting bagi memastikan kawasan itu kekal bersih, terurus dan dihormati.
Beliau berkata pihak MAINPP akan terus mempertingkatkan pemantauan serta mempertimbangkan langkah penambahbaikan termasuk penyediaan sistem pengurusan sisa yang lebih teratur.
Tanah perkuburan yang terletak di Lot 10026, Seksyen 6 di George Town dengan keluasan kira-kira 28,328 meter persegi itu telah digunakan lebih 50 tahun dan kini berada dalam keadaan padat dengan penggunaan berlapis.
Faktor penggunaan berterusan dan keadaan fizikal tapak menyebabkan jumlah sebenar kubur sukar ditentukan.
-- BERNAMA
